Seorang pengguna Facebook, Srilabu Kedah, mendedahkan rumah milik kenalannya yang menetap di negeri di pantai timur, telah diceroboh oleh sekumpulan warga asing.
Menurut Srilabu, dia terdahulu telah diminta oleh seorang sahabatnya untuk membantu menjual sebuah apartmen di Puchong yang dimiliki oleh kenalannya yang kini menetap pantai timur.
Difahamkan, pemiliknya telah membeli apartment tersebut sejak 10 tahun lalu
Dan tidak pernah menyewakan kediaman itu kepada sesiapa. Malah dia juga tidak pernah tinggal di rumah itu kerana lebih selesa tinggal di kampung.
Terkejut tengok rumah itu ada penghuni
Namun, apabila Srilabu pergi ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan apartmen tersebut, dia terkejut sebaik saja mendapati ada penghuni di dalamnya.
“Aku pun pergilah tengok keadaan rumah itu elok ke tidak. Apabila sampai, aku tengok dalam rumah itu ada penghuni. Eh? Kata rumah kosong? Aku pun call pemilik rumah itu sekali lagi untuk kepastian.
“Betul ke rumah ini kosong? Ada orang duduk dalam rumah ini, iaitu warga asing!”
Penghuni tersebut merupakan sekumpulan warga asing dan tidak pandai berbahasa Melayu atau Inggeris.
“Aku terkejut, sahabat dan pemilik rumah pun terkejut sama. Sebab pemilik kata dia tak pernah sewakan rumah itu kepada sesiapa sejak beli, lebih 10 tahun lalu.
“Sudahlah warga asing yang menghuni rumah itu tidak pandai bercakap dalam bahasa Melayu dan inggeris. Berani betul mereka ni, main ceroboh masuk rumah orang macam itu saja. Kita yang merupakan warga tempatan pun tak berani buat macam tu.”
Dah lama duduk, tak ada siapa kacau
Menurut penyelia warga asing terbabit yang juga merupakan warga Bangladesh berkata, mereka telah tinggal di rumah itu selama beberapa tahun tanpa membayar sewa. Mereka juga telah menyambung bekalan air dan elektrik dari rumah sebelah.
“Dia kata mereka ini dah lama duduk di situ. Tak bayar sewa dan tiada sesiapa yang kacau mereka sebelum ini.
“Air pun mereka sambung dari pili rumah sebelah, elektrik pula tak tahu mereka sambung macam mana.”
Minta bukti wakil sah dari pemilik
Srilabu telah berbincang dengan supervisor warga asing tersebut yang kemudian menuntut bukti bahawa dia adalah wakil sah dari pemilik rumah.
“Jadi mereka pula minta bukti daripada aku sama ada aku ini betul-betul wakil dari pemilik rumah. Mereka tuntut bukti yang mengatakan kita ini pemilik yang betul. Oh apa sudah jadi Malaysia ku?”
‘Menyirap’ dengan apa yang berlaku, Srilabu meminta pemilik rumah untuk membuat laporan polis dan dia juga akan membuat laporan kepada pihak Imigresen.
Dia turut menggesa orang ramai untuk menyebar berita ini sebagai amaran kepada pemilik rumah lain yang mungkin menghadapi situasi yang sama.
BACA: Pertama kali dalam sejarah negara, solat subuh terpaksa dibuat dua sesi dalam masjid yang sama