Sebutan ‘bismillah’ dalam Mechamato Movie diubah kepada ‘Kakugo Shiro’, ini maksud sebenarnya

Oleh NADIA HARON

Tayangan filem Mechamato di Jepun kini mendapat sambutan yang positif di kalangan peminat. Gabungan animasi dan suara pelakon antarabangsa menghasilkan pencapaian yang cemerlang.

Namun, satu babak ikonik di mana watak Maskmana menyebut “Bismillah” sebelum berlawan

Dengan watak Grakakus dalam filem itu dikatakan telah diubah ke dalam bahasa Jepun.

Sebutan 'bismillah' dalam Mechamato Movie diubah kepada 'Kakugo Shiro', ini maksud sebenarnya

Ini menimbulkan pertanyaan di kalangan peminat tempatan mengapa perkataan itu diubah untuk tayangan di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studio, Mohd Nizam Abdul Razak, menerangkan bahawa dalam versi bahasa Jepun, “Bismillah” digantikan dengan “Kakugo shiro” atau dalam bahasa Inggeris, “prepare yourself” (Bersedialah).

Beliau menyatakan bahawa pihak mereka baru mengetahui mengenai perubahan ini beberapa hari sebelum tayangan perdana.

“Tiada apa yang dapat dilakukan kerana proses rakaman memerlukan masa yang lama untuk diatur,” katanya.

Menurut beliau, apabila ditanya kepada pasukan dubbing di Jepun mengapa “Bismillah” tidak dikekalkan, mereka menjawab bahawa “Kakugo shiro” lebih sesuai untuk penonton Jepun agar mereka dapat memahami konteks babak ikonik itu.

Walaupun pihak Animonsta Studio sudah menghubungi studio rakaman dan pelakon suara di Jepun, beliau menyatakan bahawa mungkin hanya pada keluaran akan datang di platform lain “Bismillah” dapat dikembalikan.

“Saya faham keputusan mereka, tetapi saya juga faham adegan ini merupakan highlight dalam Mechamato Movie,” katanya.

Menerusi hantaran itu, Animonsta Studio juga memberitahu bahawa mereka telah mengambil tindakan dan berharap untuk mengembalikan penggunaan “Bismillah” pada keluaran yang akan datang di Malaysia.