‘Tak masuk akal!’ Pemilik tanah nekad ‘swap’ suka sama suka dengan RXZ

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Seorang lelaki berjaya menjual Yamaha RX-Z ‘Catalyzer’ dengan menukar motosikalnya dengan sebidang tanah di Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, yang menjadi perbualan warganet.

Orang ramai memberikan pelbagai reaksi terhadap ‘kisah luar biasa’ itu. Ramai yang beranggapan pertukaran itu merupakan ‘satu kerja gila’,

bagaimanapun ada sekumpulan kecil berpendapat itulah ‘nilai’ sebuah motosikal RX-Z pada hari ini.

'Tak masuk akal!' Pemilik tanah nekad 'swap' suka sama suka dengan RXZ

Menurut Zulkifli, dia sememangnya memiliki hobi mengumpul Yamaha RX-Z. Sehingga kini terdapat 15 buah model motosikal itu di kediamannya bagi kegunaan harian.

Pada mulanya Zulkifli menyangkakan rakannya yang dikenali sebagai ‘Abang Mat’ sekadar bergurau mahu memiliki sebuah motosikal RX-Z.

“Abang Mat cakap, Boss Lee (Zulkifli) bagi lah saya RX-Z comel-comel sebiji, awak ini jutawan RX-Z.

“Saya cakap balik yang dia itu jutawan tanah hanya sebagai gurauan. Kemudian Abang Mat kata mahu ‘swap’ tanah dengan RX-Z,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Tambah Zulkifli lagi, Abang Mat merupakan rakan kepada isterinya sejak zaman sekolah dan telah mengenalinya lebih dari 15 tahun.

Pertukaran itu melibatkan sebuah lot tanah berkeluasan 487 meter persegi dengan sebuah RX-Z bernilai kira-kira RM30,000 pada hari Rabu dengan nilai tanah sekitar RM50,000 hingga RM70,000.

“Saya siap tanya dengan Abang Mat lagi ketika di pejabat tanah sama ada dia menyesal atau tidak ‘swap’ dengan RX-Z.

“Abang Mat kata tiada ‘u-turn’ balik. Saya anggap ini rezeki anak-anak,” ujarnya.

Meskipun harga tanah mempunyai nilai lebih tinggi daripada RX-Z tersebut, mereka tetap meneruskan urusan jual beli dan lebihan nilai itu dianggap sedekah daripada Abang Mat.

Katanya, Abang Mat yang bekerja sebagai peniaga itu sememangnya dikenali ramai sebagai seorang yang suka bersedekah dan pemurah.

“Dia memang seorang yang kaya kerana memiliki banyak tanah. Alhamdulillah, sekarang ini, geran tanah pun sudah berjaya ditukar kepada nama saya,” kata Zulkifli yang menetap di Melor.

Walaupun ramai yang mengecam tindakan Abang Mat kerana menukarkan sebidang tanah dengan sebuah motosikal — bagi Zulkifli itu hak masing-masing.

“Mereka nak kecam itu hak dia, janji beras di dapur tidak habis, ini rezeki masing-masing,” katanya

BACA: Tak sangka! Yang di-Pertuan Agong ke-17 bayar zakat tahun lepas RM10 juta!