Datuk Hattan mengumumkan mahu bersara, Jun depan, selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni.
Bukan kecil hati, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 60, menjelaskan beliau mahu berehat selain impian terbesar iaitu
Berkongsi pentas dengan Datuk M Nasir yang dianggap guru, bakal tercapai.
“Saya bukan merajuk… Itu klise. Cuma saya penat, jadi kena rehat. Saya sudah lama rancang.
“Bukan tidak mahu menyanyi lagi, tetapi tak nak terbabit dalam konsert besar. Setakat majlis kecil-kecilan untuk lepas gian, bolehlah.
“Saya sudah capai apa yang saya hendak. Ketika mula-mula menceburi bidang seni, saya banyak belajar dengan M Nasir.
“Apabila saya dapat berkongsi pentas dengannya pada Konsert Sifu & Aku, saya fikir ini adalah kemuncak dalam kerjaya saya. Sudah sampai masanya untuk saya umumkannya (bersara).
“Insya-Allah, akan ada satu lagi konsert saya, Jun depan. Tetapi tapi saya tidak boleh kongsi lebih lanjut.
“Konsert itu menjadi penutup untuk saya melabuhkqn tirai dalam bidang seni,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Hattan yang popular dengan lagu Rendang Tak Berbuah menambah, beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya bersara walaupun dipujuk.
“Bagilah orang lain pula. Saya pun tidak ada apa yang hendak dikejar atau dicapai lagi.
“Tak perlulah pujuk saya… Sudah bersara, bersaralah,” katanya.
Konsert Sifu & Aku akan dipentaskan di Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu, Sabtu ini.