Pakaian istiadat diraja merangkumi pakaian yang dipakai oleh golongan diraja semasa menghadiri majlis istiadat formal seperti Istiadat
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Perkahwinan Diraja, dan sebagainya.
Apabila menyebut pakaian istiadat diraja, kebanyakan orang akan terbayangkan tengkolok sebagai aksesori utama.
Walaubagaimanapun, pakaian istiadat tidak terhad kepada aksesori kepala sahaja. Berikut adalah tujuh pakaian istiadat diraja yang perlu anda ketahui.
1. Tengkolok Diraja
Raja-raja Melayu telah lama memakai tengkolok sebagai pakaian kebesaran. Tengkolok adalah kain sutera yang diikat dengan pelbagai solek di ulunya. Bentuk, solek, dan warnanya berbeza dari satu negeri ke negeri lain. T
engkolok Diraja hitam bersulam benang emas digunakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam majlis-majlis istiadat seperti Hari Pertabalan dan Perasmian Sesi Penggal Persidangan Parlimen.
2. Muskat
Pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara. Pakaian ini diperbuat dari benang hitam dengan sulaman benang emas dan dikatakan berasal dari Negara Muskat.
Dipakai dalam majlis-majlis istiadat seperti Hari Pertabalan dan lawatan rasmi.
3. Mess Kit
Pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika menghadiri majlis santapan malam beristiadat. Direka bentuknya mengikut keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2009 dan memperoleh perkenan pada tahun 2011.
4. Pending Diraja
Diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah permata delima, dengan lambang Kerajaan Persekutuan di tengahnya dan tali bengkung dari kain sakhlat bertekat berbunga-bunga.
5. Keris Pendek Diraja
Aksesori ini diperbuat daripada mata keris lama dengan hulu berupa ‘Hulu Pekaka’ yang mirip kepala burung ‘Garuda’. Hanya boleh dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong.
6. Gendik Diraja
Pakaian ulu bagi Raja Permaisuri Agong yang berbentuk seperti tiara, diperbuat daripada emas putih dengan permata berlian berbunga awan larat. Dipakai dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja.
7. Kalung Diraja
Rantai leher dipakai oleh Raja Permaisuri Agong, diperbuat daripada emas putih dengan permata berlian. Boleh diceraikan menjadi subang, keronsang, dan kerabu. Dipakai dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pertabalan Yang di-Pertuan Agong.