Tapak rumah allahyarham Sudirman kini tinggal kenangan

Oleh ZULAIKHA ABBAS

Terkenal dengan gelaran Penyanyi nombor satu Asia, ramai yang mengenali insan hebat yang bernama Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Beliau dikenali kerana bakatnya dalam menghiburkan peminat-peminatnya, menjadi kegemaran ramai tanpa mengira latar belakang kaum atau usia.

Walaupun beliau telah meninggal dunia sejak 31 tahun yang lalu, tiada penyanyi masa kini yang mampu menandingi kebolehan Sudirman dalam menghiburkan peminat.

Tapak rumah allahyarham Sudirman kini tinggal kenangan

Baru-baru ini, beberapa gambar rumah milik Allahyarham Sudirman yang hanya tinggal tangga sahaja telah menjadi perbualan di laman Facebook.

Melalui perkongsian tersebut, rumah yang terletak di Kampung Tok Embun, Temerloh, Pahang, kelihatan sangat usang dan hampir lenyap daripada pandangan manusia.

Tidak sepadan dengan martabatnya sebagai penyanyi yang telah mengharumkan nama Malaysia, kawasan tempat tinggal beliau kini dibiarkan terbiar dan dipenuhi semak.

Rumah tersebut dibiarkan tanpa sebarang pembaikan selepas mengalami kebakaran dan banjir besar yang merosakkan struktur bangunan serta tangga.

Mendapat perhatian ramai, pemilik akaun Facebook itu menggesa pihak berkuasa untuk memulihara rumah tersebut sebagai warisan penting.

Komen dari pengguna media sosial juga menunjukkan sokongan terhadap usaha memulihara rumah ikon seni negara itu.

Ramai peminat turut menyatakan kesedihan melihat keadaan rumah Sudirman yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Ya Allah, tinggal tangga sahaja. Seolah-olah jasa arwah selama ini tidak dihargai. Sedih sungguh,” kongsi seorang peminat yang kecewa selepas melihat gambar itu.

“Selalu terfikir mengapa dibiarkan rumah seniman ini terbiar. Kalaulah aku ada kuasa, sudah lama aku bangunkan. Lejen kot. Tiada galang ganti,” luah peminat lain.

“Boleh baik pulih semula. Jadikan muzium seperti rumah Tan Sri P Ramlee yang terletak di George Town, Pulau Pinang.” Kata pengguna yang memberi cadangan kepada pihak berwajib.

Baca:“Salah aku tak didik kau dengan betul, salah aku dengan mak kau tak didik kau cara jadi suami dan lelaki yang baik, kau ceraikan bini kau!”