Pada pertengahan bulan lalu, Merak Jalanan kembali ke kampungnya dan apabila tiba di Kulim, Kedah, dia menghadapi sekatan polis di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Sebagai seorang pemandu yang sentiasa mematuhi peraturan, tiada yang perlu dibimbangkan kerana tali pinggang keselamatan
sentiasa dipakai, dan peratusan kegelapan cermin mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Namun, situasi menjadi pelik apabila anggota polis tetap meminta Merak Jalanan untuk menunjukkan cukai jalan digital, walaupun aplikasi MyJPJ tidak dapat diakses pada ketika itu kerana terlupa kata laluan.
Merak Jalanan menunjukkan tangkapan skrin cukai jalan, tetapi anggota polis itu tetap bertegas bahawa mereka hanya mahu melihat cukai jalan daripada aplikasi MyJPJ sahaja.
Untungnya, selepas beberapa minit bersabar di tepi sekatan polis, Merak Jalanan berjaya membuka aplikasi tersebut dan dapat meneruskan perjalanan.
Merak Jalanan berasa hairan kerana pada bulan Februari yang lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan yakin menyatakan bahawa penguatkuasa boleh mengesahkan cukai jalan kenderaan melalui peranti yang mereka miliki.
Malahan, pemandu kenderaan tidak perlu memuat turun aplikasi MyJPJ, selagi cukai jalan dan insurans masih aktif, semuanya tidak akan menimbulkan masalah.
Hampir melupakan insiden tersebut, seorang sahabat Merak Jalanan menceritakan mengalami situasi yang sama apabila melalui satu sekatan jalan raya di Shah Alam, Selangor pada malam minggu.
Situasinya serupa di mana anggota polis tetap ingin melihat cukai jalan digital melalui aplikasi MyJPJ walaupun menghadapi kesulitan untuk membukanya kerana terlupa kata laluan.
Oleh itu, Merak Jalanan berpandangan bahawa dalam kedua-dua situasi ini, mungkin anggota polis terlepas pandang keputusan kerajaan atau mereka tidak memiliki peranti untuk melakukan pemeriksaan.
BACA: Ini ahli politik terkaya dalam Malaysia ramai tak tahu, hasil kekayaannya kalah Sultan!