Resipi tauhu berlauk dan sambal kicap

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Menu ni sangat sesuai pada sesiapa yang tengah berdiet kurang karbo sebab ada banyak protein dalam 1 hidangan dan sangat rendah kandungan karbohidrat.

Kandungan protin datang daripada 2 jenis tauhu (tauhu petak dan tauhu telur), dari telur dan juga isi ayam.

Bila kita cicah tauhu berlauk yang digoreng garing di luar dan lembut dalam ni dengan cili kicap, memang kebaboom rasa nya.

Resipi tauhu berlauk dan sambal kicap

Bahan-bahan:

Bahan-bahan tauhu berlauk:

4 ketul tauhu telur

4 ketul tauhu putih (letak 3 ketul jika mahu adunan kurang pekat)

1 pokok daun sup

1/2 -1 biji bawang besar

2 tangkai cili padi

1/2 batang lobak merah

3 biji telur

2 ketul/ 250g isi ayam

1 kiub pati ayam

2 sk serbuk lada sulah

1-2 sk garam

2 biji telur

1 sb tepung jagung

Bahan-bahan cili kicap:

5 ulas bawang putih

1/2 bawang besar

6-8 tangkai cili padi

1/4 cwn kicap manis

1/2 sk garam

1 sb gula

Cara Penyediaan:

Cara-cara untu tauhu berlauk:

Potong tauhu putih dan tauhu telur.

Daun sup, bawang besar dan cili padi potong halus-halus.

Lobak merah kupas dan parut halus.

Pecahkan telur.

Isi ayam potong kecik-kecik.

Kisar halus telur, isi ayam, tauhu telur, tauhu putih dan kiub pati ayam.

Pindah bahan kisar halus dalam mangkuk.

Kemudian tambah serbuk lada sulah, cili padi, bawang besar, lobak merah, daun sup dan garam.

Gaul sebati kesemua bahan.

Masukkan adunan dalam acuan.

Kukus selama 15-20 minit dan kemudian sejukkan.

Pecahkan telur, kemudian pukul sebati telur dengan sedikit tepung jagung.

Panaskan minyak.

Celup tauhu kukus dalam adunan telur dan goreng sampai keperangan.

Bila dah masak, angkat dan toskan minyak.

Cara-cara untuk cili kicap:

Potong kasar bawang putih dan bawang besar.

Cili padi buang tangkai.

Panaskan minyak dan goreng bawang putih, bawang besar dan cili padi sampai layu.

Masuk bawang, cili, kicap manis, minyak masak, garam dan gula dalam blender.

Kisar hancur (tapi jangan terlalu halus).

Dah siap, boleh hidang cili kicap bersama tauhu berlauk.

Tip:

Jangan tambah air dalam adunan tauhu berlauk, kalau susah nak kisar boleh berhenti tekan-tekan dulu bahan kebawah, kalau nak senang boleh guna food processor.

Minyak kena betul-betul panas, kalau kurang panas salutan akan serap minyak, jadi tak rangup dan silap-silap isi tauhu tersembur keluar.

BACA: Kecoh anak Taib Mahmud saman Ibu tiri, ini senarai harta yang dimiliki Taib Mahmud