Betul kata orang orang lama dahulu. Berbakti kepada tanah pasti tidak rugi. Atau bak kata pepatah,
“Berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu”, yang mana setiap usaha pertanian pasti akan membuahkan hasil.
Jika berkehendak, aktiviti menanam sayur-sayuran skala kecil ini tidaklah sesukar mana.
Kosnya pula, jika dikitar semula bahan-bahan yang ada, sangatlah murah.
Misalnya, pilih sayur-sayuran yang tidak rumit untuk diuruskan seperti sayur sawi. Untuk tapak atau bekas semaian pula, anda boleh guna cengkerang telur ayam sahaja.
Panduan bermanfaat ini dikongsikan sendiri oleh pengguna Facebook, Hadijah Abu Bakar di laman kumpulan Berkebun Di Rumah.
Langkah-langkah menyemai benih pokok sawi
Berdasarkan perkongsian Hadijah, sekurang-kurangnya tiga benda yang anda perlukan iaitu biji benih sawi, tanah hitam dan juga cengkerang telur ayam.
Cengkerang telur ayam ini pula, anda kena pelan dari awal-awal kerana perlu dipecahkan pada bahagian bujurnya, bukan di bahagian tengah seperti biasa.
Selain itu, ia juga perlu dibersihkan dengan teliti sehingga tiada bau telur supaya tidak menarik perhatian haiwan perosak.
Kemudian, tebuk satu lubang kecil di satu lagi bahagian bujur telur.
Seterusnya, isikan cengkerang telur itu dengan tanah dan letak biji benih.
Melihat gambar-gambar yang dikongsikan, setiap cengkerang diisi sekurang-kurang tiga biji benih sawi.
Selepas itu, apa yang perlu buat hanyalah penjagaan rutin, sesuai dengan saiz tapak semaian berasaskan cengkerang telur ayam.
Menurut Hadijah di ruang komen, pokok sawi yang disemai sudah boleh dialihkan ke tapak tanaman dalam dua minggu kemudian.
Pokok sawi yang disemai juga boleh dialihkan selepas keluar daun keempat atau kelima.
Untuk mengalihkan pokok sawi ini ada cara-caranya. Anda perlu memecahkan cengkerang telur dengan berhati-hati dan tanam seperti biasa.
Semoga bermanfaat!