Jagalah hati pasangan yang sah terlebih dahulu sebelum keluarga, janganlah menambah api dengan membiarkan suami atau isteri dibuli keluarga.
Apatah lagi jika isteri tidak pernah melawan dan mengikut sahaja kehendak keluarga suami walaupun makan hati.
Seorang lelaki berkongsi kisah kesilapan diri yang memilih untuk mendengar kata adik beradik yang dengan lantang menghina dan mengkritik bekas isterinya.
Maruah isteri tanggungjawab suami
“Aku cuma nak berkongsi kisah aku supaya jangan ada yang mengulangi kesilapan sama. Aku berkahwin muda. Seawal usia 21 tahun.
Aku dan isteri aku sebaya. Aku bangga punyai isteri yang cantik, lemah-lembut, pengetahuan agama yang tinggi dan bersopan santun.
Tapi aku silap. Silap aku, aku membiarkan abang dan kakak aku membuli dan memperlekeh isteri aku di hadapan saudara mara setiap kali kami pulang ke kampung.
Bila isteri aku mengadu, aku cakap isteri aku mengada-ngada kerana bagi aku adik-beradik aku sekadar ingin bergurau.
Gurauan yang akhirnya menjadi penghinaan demi penghinaan terhadap maruah isteri aku sedangkan aku hanya mendiamkan diri walaupun ianya berlaku di depan mata.
Selepas 10 tahun, aku dapati isteri aku mula berubah. Dia menjadi pemarah. Bahasanya semakin kasar. Makin aku marah, makin dia melawan.
Yang peliknya, bila pulang ke kampung aku, walaupun dikutuk abang dan kakak aku, isteri aku hanya tersenyum lemah tetapi sebaik menaiki kereta untuk ke tempat lain.
Isteri aku akan menjadi perengus dan perkataan ‘bodoh’ tidak henti-henti diucapkannya. Kami sentiasa bergaduh atas segala perkara.
Akhirnya pada hari raya tahun lepas, aku lafazkan cerai di hadapan adik beradik aku apabila aku tidak tahan lagi dengan kata-kata penghinaan abang.
Bagi mereke aku adalah lelaki bodoh kerana isteri aku buat air tidak sedap mengikut selera mereka. Kami bercerai.
Aku seperti tidak keruan sedangkan isteri aku cuma menitiskan air mata sambil bibirnya mengukir senyuman pahit.
Aku ikut kata-kata adik beradik aku yang mengatakan isteri aku akan sembah aku untuk rujuk semula.
Aku cuma perlu tunjuk lagak sebagai lelaki, namun hari demi hari aku tunggu. Isteri aku menghilang bersama empat anak kami. Sehingga habis tempoh edah.
Isteri aku tidak pernah telefon atau datang untuk rujuk atau meminta nafkah anak-anak yang sengaja aku tidak bagi atas hasutan adik-beradik aku.
Bekas isteri dah kahwin lain
Baru-baru ini, aku intip kehidupan isteri aku rupanya dia dah kahwin lain. Aku ekori siang dan malam.
Aku lihat anak-anak aku sangat mesra dengan lelaki yang mereka panggil papa. Aku lihat bekas isteri aku sangat hormat kepada lelaki tu.
Aku tak dapat tahan diri, semalam aku sengaja solat maghrib di masjid yang selalu mereka pergi untuk solat. Aku sengaja solat bersebelahan lelaki itu.
Akhirnya aku tewas bila anak lelaki aku memanggil aku ayah apabila menyedari aku ada di situ selepas solat. Lelaki itu hanya mengangguk kepala dan tersenyum.
Dia tersenyum sambil mengusap kepala anak lelaki aku dengan mesra. Sedang aku tidak pernah sekalipun menyentuh kepala anak-anak aku begitu.
Dan aku tanpa segan silu bertanya, apa yang dia lakukan sampai bekas isteri aku nampak sangat taat kepadanya. Katanya kata-kata yang baik adalah doa.
Dia dan keluarganya sentiasa bercakap baik tentang Marliyana (bekas isteri aku) dengan sesiapa sahaja. Itu adalah doa mereka buatnya.
Aku terdiam. Baru aku sedar dari hari pertama aku berkahwin, aku tidak pernah mendengar adik beradik aku berkata yang baik tentang isteri aku.
Yang aku dengar cuma isteri aku tak pandai masak, isteri aku buat air tak sedap, isteri aku masak tak sama macam keturunan kitorang masak.
Walaupun pada hakikatnya kami hanyalah orang felda dan tak ada keturunan makbapak aku yang buat katering or jadi chef.
Mereka hasut kononnya isteri aku pakai cantik sebab nak mengorat ‘jantan’ dan macam-macam lagi yang tak mampu aku sebut di sini.
Dan aku sebagai suami hanya membiarkan sahaja tanpa sedar ianya melukai hati isteri aku dan merosakkan perkahwinan kami.
Jadi buat suami kat luar sana, lindungilah isteri masing-masing daripada mulut jahat yang ada dalam keluarga korang.
Jika tidak korang hanya akan ada isteri yang derhakaa kerana kecewa dengan sikap ‘tidak kisah’ suami dan akhirnya korang akan sendirian seperti aku.”
Baca juga: Pernah kena buli ketika bekerja di Malaysia, lelaki ini kini jadi boss besar di Pakistan