Seorang lelaki telah meninggal dunia semasa menjalani pembedahan untuk mengubah bentuk ‘senyuman’ menjelang perkahwinannya minggu lalu, dilaporkan oleh NDTV.
Menurut polis, mangsa, Laxmi Narayana Vinjam, 28, meninggal dunia semasa menjalani prosedur itu di Klinik Pergigian Antarabangsa FMS di sini pada 16 Februari lalu.
Bapa kepada Laxmi Narayana Vinjam, Ramulu Vinjam, mendakwa bahawa anaknya meninggal dunia akibat dos bius yang berlebihan.
Beliau menyatakan bahawa selepas anaknya pengsan semasa pembedahan, kakitangan menghubunginya dan meminta dia datang ke klinik.
“Kami segera membawanya ke hospital berhampiran, di mana doktor mengesahkan kematian anak saya.
“Anak saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini, jadi saya rasa doktor perlu bertanggungjawab atas kematian beliau,” katanya.
Pegawai polis tempatan, K Venkateshwar Reddy, menyatakan bahawa Laxmi Narayana tiba di klinik pada 2.30 petang, 16 Februari lalu.
“Pada kira-kira jam 4.30 petang, dia dibawa ke bilik bedah dan prosedur berjalan hampir dua jam. Sekitar jam 7 malam, pihak klinik menghubungi bapanya dan dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Apollo di Jubilee Hills, di mana beliau diisytiharkan meninggal dunia,” katanya.
Laxmi Narayana sepatutnya berkahwin pada bulan depan.
Kes jenayah telah difailkan terhadap klinik itu kerana kecuaian.
Menerusi laman web FMS International, klinik tersebut dinyatakan sebagai klinik pergigian paling banyak dianugerahkan di India sejak tahun 2017, dengan lebih daripada 55 anugerah.