Siapa di sini tidak suka pergi ke hospital? Ada pelbagai alasan yang mungkin anda pernah dengar, sama ada takut jarum (trypanophobia),
‘ngeri’ melihat luka dan darah (hemophobia), takut dengan ubat (pharmacophobia), atau tidak selesa dengan bau hospital.
Malahan, ada satu fobia khusus terhadap hospital yang dikenali sebagai nosocomephobia,
Di mana individu yang mengalami fobia ini juga mungkin mempunyai fobia lain seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Namun, terdapat satu persamaan yang mungkin kebanyakan dari kita akan perhatikan apabila kita ke hospital, sama ada kita mempunyai fobia atau tidak, iaitu bau hospital.
Tak kira hospital mana pun, kebanyakan daripadanya mempunyai bau yang serupa. Daripada mana datangnya bau itu? Adakah bau ubat atau bau apa?
Menurut KnowsWhy.com, bau tersebut datang daripada bahan pembasmi kuman yang digunakan. Amnya diketahui bahawa hospital adalah tempat di mana banyak pesakit ditempatkan yang mungkin dijangkiti oleh kuman atau patogen.
Justeru, untuk mengurangkan risiko penularan kuman melalui udara, kebanyakan hospital menggunakan Iodoform, bahan yang menyebabkan bau tersebut.
Iodoform adalah sebatian yang terdiri daripada karbon, hidrogen, dan iodin. Ia adalah pembasmi kuman yang stabil, digunakan untuk membersihkan bilik pesakit, lorong, dan kawasan lain di hospital.
Malahan, dalam beberapa keadaan, ia juga disembur ke udara sebagai antiseptik untuk membunuh kuman.
Walau bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi, banyak hospital kini menggunakan alternatif yang kurang berbau seperti cetrimide. Bahan ini dikatakan lebih stabil pada suhu tinggi dan kurang berbau berbanding Iodoform.
Oleh itu, tidaklah menghairankan jika semakin ramai hospital yang tidak lagi mempunyai bau khas seperti yang kita biasa hidu dahulu.