Buat peminat makanan ala Barat seperti burger, pasti anda menginginkan daging yang dikepit di tengah roti atau dipanggil ‘patty’ mempunyai ketebalan yang memuaskan.
Tidak kira patty ayam atau daging lembu, ramai juga dalam kalangan kita yang sudah mengurangkan
pembelian daging kisar yang dijual di pasaran dan mula membuat secara ‘homemade’.
Memang terjamin kebersihan dan sangat mesra kanak-kanak, ada resepi patty ayam homemade yang dikongsikan menerusi Facebook Geliga Rasa mendapat perhatian wargamaya.
Jadi, apa kata kita cuba buat di rumah sempena cuti hujung minggu ini untuk hidangan seisi keluarga dan boleh disimpan sejuk beku!
Semalam rasa sayu anak-anak minta belikan burger. Tapi ayahnya belum gaji lagi. Pagi tadi pun anak-anak ulang lagi permintaan sama, tak sampainya hati nak hampakan mereka. Bila saya buka Youtube, rupa-rupanya ada resepi patty burger. Tak sangka kita boleh buat sendiri di rumah.
Jadi hari ni saya nekad nak buat Homemade Patty Ayam. Alhamdulillah menjadi! Anak-anak pun puji kata sedap sangat. *nampak sama tapi tak serupa.
Bahan-bahan:
-400g isi dada ayam
-2 biji kentang
-1 batang lobak merah
-1 biji telur
-1 biji bawang holland
-2 sk serbuk lada hitam
-2 sk serbuk lada putih
-1 sk chilli flakes
-1 sk mixed herbs
-6 sb tepung ubi kayu
-2 sb mentega
Cara-caranya:
1.Kisar isi dada ayam, kentang, lobak dan bawang dalam ‘food processor’ sehingga halus.
2.Campurkan bahan-bahan lain dalam mangkuk. Uli sebati. Lapikkan acuan di atas kertas pembakar.
3.Kepalkan adunan dan bentukkan ikut acuan.
4.Kemudian, bolehlah kukus sebentar patty yang sudah siap selama 3 minit sebelum disimpan dalam peti sejuk beku.
5.Patty boleh dipanggang sebentar atas kuali dan sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba!
*Nampak sedap dan puas hati dengan ketebalannya kan? Jom cuba!