Semasa rakan-rakan sedang menikmati cuti persekolahan bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti
seorang pelajar lelaki hanya menghabiskan cutinya bersendirian tanpa keluarga tersayang.
Menerusi perkongsian Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzma Lailaitam (Yatim dan Asnaf) di Facebook,
pelajar tersebut terpaksa melalui detik-detik itu kerana sikap tidak peduli waris mahupun ahli keluarganya.
Foto kanak-kanak itu duduk termenung sendirian di bangku, dipercayai di perkarangan pusat tahfiz itu cukup mengundang simpati ramai.
“1001 cerita. Hanya Dia yang tahu cerita sebenar.
“Di saat kawan-kawan bercuti, hanya dia yang terpaksa tinggal.
“Terpaksa tinggal kerana tiada yang peduli,” tulis pengurus akaun Facebook pusat berkenaan.
Lebih pilu apabila pelajar itu juga dikatakan bakal menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi di pusat pengajian itu tanpa kehadiran keluarga di sisi.
“Dia bukan anak yatim piatu. Tapi ibu bapa dan penjaga tak dapat dikesan dan dihubungi.
“Kemungkinan puasa dan raya pun bersama ustaz yang menjaga tahfiz,” jelas pengendali akaun Facebook itu lagi.
Memandangkan posting berkenaan meraih simpati daripada orang ramai, rata-rata ingin mengetahui latar belakang dan kisah di sebalik keberadaan pelajar itu di pusat tahfiz tersebut.
“Dik, tahun ni beraya dengan abang jom. Famili abang pun ok je. Baju raya semua abang siapkan, Insya-Allah,” komen netizen.
Namun, menurut pemilik akaun tersebut, pelajar berkenaan lebih selesa berada di tahfiz sahaja berbanding tinggal di rumah asing.
Walaupun begitu, tiada halangan atau syarat bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat kunjungan melawatnya di sekolah.