Dalam kalendar, biasanya terdapat 365 hari dalam masa setahun kecuali pada tahun lompat
Berlaku setiap empat tahun sekali, kalendar kita akan memiliki satu hari ekstra.
29 Februari merupakan hari terakhir bagi bulan terpendek dalam kalendar tahunan.
Perkara ini telah mencetuskan persoalan dari mana datangnya hari ekstra ini dan kenapa kita perlukannya dalam kalendar.
Pertama sekali, kita perlu mengetahui sebab mengapa tahun lompat berlaku setiap empat tahun sekali. Untuk pengetahuan, ia juga berkait dengan orbit Bumi.
Sebenarnya, Bumi tidak menghabiskan putarannya mengelilingi Matahari dalam tempoh 365 hari dengan tepat. Planet yang menjadi kediaman jutaan kehidupan ini mengambil masa 365.2422 hari, lapor National Geographic.
Jadi pentingnya tahun lompat ini agar kita dapat memastikan kitaran tahunan sama dengan kitaran musim. Jika kita mengabaikan lebihan masa dan setiap tahun hanya memiliki 365 hari sahaja, kita akan melihat perubahan musim yang berlaku pada bulan tidak sepatutnya.
Siapa yang mewujudkan tahun lompat?
Berdasarkan catatan sejarah, Julius Caesar telah dianggap sebagai pelopor tahun lompat, tetapi pada hakikatnya beliau telah mendapatkan idea tersebut dari masyarakat Mesir purba.
Berdasarkan laporan National Geographic, masyarakat Mesir purba telah mengikuti sistem kalendar solar yang memiliki 365 hari serta tahun lompat bagi setiap empat tahun.
Semasa menghasilkan Kalendar Julian, Caesar telah mengambil inspirasi daripada kalendar yang digunakan oleh masyarakat Mesir purba itu.
Beliau turut membuat keputusan untuk menambah hari ekstra pada bulan Februari untuk setiap empat tahun. Dengan ini, Kalendar Julian telah pun bermula pada 1 Januari pada 45 Sebelum Masihi.
Kaedah ini telah digunakan hampir beberapa abad tanpa sebarang masalah. Kiraan Caesar berkenaan 365.25 sudah cukup hampir, tetapi tidak sejitu 365.2422 hari dalam kalendar solar.
Dengan erti kata lain, Caesar telah terlepas pandang dengan mengabaikan 11 minit dalam kalendar solar. Ini bermakna, Kalendar Julian kekurangan sehari dalam masa 128 tahun.
Pada abad ke-16, masa telah berubah sekali lagi tetapi bukan ke arah lebih baik. Kebanyakan tarikh diubah termasuklah hari Easter. Hari tersebut sepatutnya berlaku pada Ahad pertama dan diikuti dengan fenomena bulan penuh pada atau selepas equinoks musim bunga.
Ketika itu, Hari Easter telah dianjakkan dalam lingkungan 10 hari. Bagi mengatasi masalah ini, Pope Gregory XIII telah memperkenalkan Kalendar Gregorian.
Kalendar ini masih mengekalkan tahun lompat bagi setiap empat tahun, tetapi ia dihapuskan ketika permulaan abad baharu yang tidak boleh dibahagikan dengan angka 400.
Oleh sebab itu, tahun 1700, 1800 dan 1900 bukanlah tahun lompat, tetapi 2000 merupakan tahun lompat.
Walaupun dianggap lebih tepat, Kalendar Gregorian masih memiliki kekurangan. Jika dibandingkan dengan Kalendar Julian, Kalendar Gregorian akan kekurangan sehari bagi setiap 3,030 tahun.
29 Februari, hari lahir paling “rare”
Walaupun hanya boleh disambut empat tahun sekali, individu yang lahir pada 29 Februari sememangnya istimewa kerana peluang untuk lahir pada tarikh ini adalah satu dalam 1,461 kelahiran.
Ia menjadikan sekurang-kurangnya lima juta orang menyambut hari lahir pada tarikh ini.
Selamat ulang tahun kelahiran buat yang menyambutnya pada hari ini. Semoga hari istimewa anda ini dipenuhi dengan keberkatan.
Untuk pengetahuan, tahun lompat yang seterusnya ialah pada 2028, 2032 dan 2036.