Ingatkan istilah lain tapi maksudnya sama, ini beza antara hak cipta, paten dan cap dagangan ramai tak tahu

Oleh ISMAIL YAHYA

Isu hak cipta dan sebagainya telah menjadi topik viral baru-baru ini. Di media sosial terutamanya,

Pengguna mula membincangkan tindakan yang diambil oleh beberapa pihak dalam hal ini.

Biasanya, terma-terma seperti cap dagangan, paten, dan hak cipta sering dibicarakan dalam kalangan komuniti usahawan atau pengeluar produk tertentu.

Ingatkan istilah lain tapi maksudnya sama, ini beza antara hak cipta, paten dan cap dagangan ramai tak tahu

Apabila topik ini dibincangkan secara meluas, ramai mungkin berasa kehairanan dan tidak pasti bagaimana hendak membezakan ketiga-tiga terma tersebut.

Oleh itu, mari kita kongsikan sedikit penjelasan mengenai terma-terma tersebut supaya kita dapat memahami isu yang sedang dibincangkan dengan lebih mendalam.

Menurut MyIPO, berikut adalah maksud dan perbezaan antara cap dagangan, paten, dan hak cipta.

Cap dagangan

Maksud cap dagangan ialah apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.

Manakala tanda yang dimaksudkan pula termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.

Untuk pengetahuan anda, pendaftaran cap dagangan penting untuk ahli perniagaan.

Hal ini kerana pemilik cap dagangan yang berdaftar mempunyai hak eklusif untuk menggunakan cap dagangan mereka dalam perniagaan.

Malah, mereka juga boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang menggunakan cap dagangan tersebut tanpa kebenaran.

Terdapat dua tindakan yang oleh diambil iaitu dalam bentuk sivil melalui peruntukan pelanggaran (infringement) di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Selain itu, mereka juga boleh mengemukakan aduan kepada Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) untuk tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Paten

Paten pula merupakan hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta.

Rekacipta itu sama ada suatu produk atau proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah.

Menurut MyIPO, paten ke atas sesuatu dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan.

Perlindungan paten membolehkan pemilik paten mengambil tindakan undang-undang jika patennya ditiru atau disalahgunakan oleh pihak lain.

Selain itu, pemunya paten mempunyai hak memberi lesen kepada orang lain bagi menggunakan rekacipta tersebut.

Dalam masa sama, pemunya juga boleh menjual hak tersebut kepada orang lain yang akan menjadi pemilik baru kepada rekacipta tersebut.

Bagaimanapun, sebaik saja paten luput, pemunya tidak lagi mempunyai hak ekslusif ke atas rekacipta itu.

Hak cipta

Hak cipta adalah suatu hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka di Malaysia.

Ia merupakan kompenen harta intelek yang melindungi karya asli pencipta sebaik sahaja pencipta menzahirkan karya tersebut dalam bentuk ekspresi yang nyata.

Antara karya-karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta ialah karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, siaran serta karya terbitan.

Dalam pada itu, hak cipta juga mempunyai tempoh perlindungan.

Tempoh perlindungan bervariasi bergantung pada jenis karya, seperti karya sastera, seni, dan muzik yang dilindungi selama hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

Manakala, perlindungan karya rakaman bunyi, filem dan siaran adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan.

Di samping itu, hak cipta mempunyai Badan Kutipan Royalti. Ia merupakan badan yang diberikan kuasa untuk memungut bayaran royalti bagi pihak tuan punya hak cipta.

BACA: “Aku terlantar di hospital, aku tak dapat beri perhatian pada suami, rupanya masa aku sakit tu suami tidur dengan sepupu berkali-kali!”