Seperti yang diketahui ramai, setiap produk makanan yang dihasilkan oleh peniaga dan syarikat-syarikat perlu memperoleh pensijilan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
Pensijilan Halal Malaysia adalah penting untuk membezakan antara makanan yang halal dan haram, terutamanya bagi individu yang beragama Islam.
Logo ‘HALAL’ diberikan kepada produk makanan yang telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengeluar produk makanan.
Namun, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mencetak dan menggunakan logo ‘HALAL’ tanpa mendapat pengesahan yang betul.
Untuk mengelakkan pengguna terperdaya, kami ingin berkongsi ciri-ciri logo ‘Halal’ yang sepatutnya di bawah ini.
Apa Itu “HALAL”
Menurut laman web rasmi halal.gov.my, perkataan ‘Halal’ bermaksud dibenarkan atau sah menurut undang-undang Islam. Takrif Halal merujuk kepada makanan yang dibenarkan untuk dimakan oleh orang Islam.
Istilah ‘Halal’ digunakan dalam apa jua bentuk dalam perdagangan makanan dan merujuk kepada makanan yang dibenarkan dalam agama Islam.
Berikut adalah terma-terma logo HALAL di bawah.
1. Tidak berpunca daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang diharamkan kepada orang Islam oleh undang-undang Islam, atau haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
2. Tidak mengandungi apa-apa bahan yang dianggap suci dalam undang-undang Islam.
3. Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan atau perkakas yang tidak bebas daripada kekotoran seperti yang ditakrifkan oleh undang-undang Islam.
4. Pada peringkat penyediaan, pemprosesan atau penyimpanan, tidak bersentuhan dengan atau disimpan berhampiran apa-apa jenis makanan yang tidak memenuhi kehendak para (s) (a), (b) atau (c) atau mana-mana bahan-bahan yang dianggap suci oleh undang-undang Islam.
Menurut laman web rasmi halal.gov.my, logo “HALAL” dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Berikut adalah ciri-ciri logo Halal yang sahih.
1. Logo HALAL mempunyai perkataan “Malaysia” dalam bulatan.
2. Logo HALAL mempunyai bintang lapan puncak (bucu) di tengah-tengah bulatan.
3. Logo HALAL mempunyai perkataan “حلآل” di tengah bintang
4. Logo HALAL mempunyai tulisan rumi “HALAL” dalam huruf Roman di bawahnya.
5. Logo HALAL mempunyai dua bintang kecil berbucu lima bagi memisahkan tulisan Rumi dan Arab.
6. Logo HALAL mempunyai perkataan ماليزيا dalam bahasa Arab di dalam bulatan logo.
7. Di bawah logo HALAL terdapat nombor siri seperti MS 1500:2009 dan nombor permohonan.