Intan Najuwa kongsi tips jaga suami “Selepas berkahwin, saya…”

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

SERI pengantin yang terpancar pada wajah pelakon jelita, Datin Intan Najuwa belum pudar. Sudah enam bulan melayari bahtera alam rumah tangga bersama suami tercinta,

Datuk Ahmad Asraf Azman sejak 18 Ogos tahun, Intan bahkan semakin berseri-seri.

Bersyukur dikurniakan seorang ‘imam’ yang begitu penyayang dan memahami tuntutan dirinya sebagai selebriti,

Intan Najuwa kongsi tips jaga suami “Selepas berkahwin, saya…”

tiada apa yang mampu dibalas Intan, selain untuk menjadi isteri terbaik dan bertanggungjawab terhadap ‘syurganya’.

Sama seperti kaum isteri lain, selepas berkahwin, suami kini menjadi keutamaan berbanding hal-hal lain, termasuk kerjaya yang selama ini menjadi pilihan penting dalam hidup Intan.

Buktinya, selepas mendirikan rumah tangga, Intan bersimbah puja puji netizen. Dia dianggap isteri yang pandai mengurus dan menjaga suami, sehingga membuatkan pasangannya terlihat semakin segak.

Rutin jadi isteri

Benar kata orang, hendak memikat hati suami, perutnya perlu dijaga. Biar hidup dalam kemewahan, Intan tiada masalah untuk turun ke dapur dan memasak dengan air tangan sendiri untuk suami.

Asraf yang merupakan seorang ahli perniagaan bahkan mengakui apa yang dikatakan netizen tentang isterinya, rajin memasak, pandai menjaga dan mengurus suami, semuanya benar.

“Betul apa yang mereka (netizen) cakap. Semuanya betul,” katanya sambil menjeling si isteri yang ada di sisi.

Ditemui HibGlam baru-baru ini, Intan beranggapan segala khidmat yang dipersembahkan buat suami, hanyalah sebagai perkara biasa yang seharusnya dilakukan semua wanita bergelar isteri.

Akui Intan, adakala timbul rasa bersalah dalam diri jika dia terpaksa pulang lewat ke rumah kerana perlu menghabiskan masa yang panjang di set penggambaran.

“Saya rasa perkara itu (mengurus suami) datang secara semula jadi. Saya hanya buat apa yang termampu dan sehabis baik sebagai isteri. Mujur suami saya tidak cerewet dan senang dijaga. Itu sahaja.

“Itu adalah tanggungjawab saya. Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya bertambah gembira. Kalau kita ikhlas, tidak akan rasa terbeban,” kata Intan tersenyum manis.

Tempias

Disoal tempias berkahwin dengan seorang selebriti popular, Asraf pula berkata, sebelum berkahwin dengan Intan, dia sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang berlaku.

Akui Asraf, pada awalnya dia memang tidak terbiasa apabila menerima tempias populariti isteri sehingga menjadi perhatian masyarakat, namun kini alah bisa tegal biasa.

“Memang banyak cabaran. Apa yang penting kena bersabar. Isteri juga nasihatkan saya supaya tidak membaca komen-komen dalam media sosial.

“Sebelum berkahwin dengan Intan pun, saya sudah bersedia. Maksudnya daripada segi tempias populariti, gosip dan sebagainya.

“Cuma saya seorang pemalu. Jadi, mahu tidak mahu saya kena terima juga,” kata lelaki berusia 40 tahun itu.

Sampuk Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abd, Wahid, mujur si suami jenis yang tidak ambil pusing dan hanya akan ketawa jika membaca komen-komen jelik netizen tentang dirinya.

“Nasib baik suami jenis tidak ambil pusing. Kalau baca komen (jelik), dia hanya ketawa sahaja. Macam tidak ada perasaan,” kata berusia 29 tahun itu.

Ramadhan pertama

Tambah Asraf, selepas berkahwin, dia tidak pernah menghalang Intan meneruskan kerjaya seni kerana percaya isterinya mampu untuk menguruskan masa antara kerjaya dan keluarga.

Tidak meletakkan sebarang batas, sebagai suami, Asraf cuma mengingatkan Intan supaya sentiasa menjaga diri dan paling penting, berbuat baik dengan semua orang, terutama ketika bekerja.

“Saya cuma ingatkan isteri, jaga diri baik-baik dan berbuat baik dengan semua orang.

“Saya pun tidak menghalangnya untuk terus berada dalam industri sebagai pelakon. Saya tidak melarang sebab Intan lebih memahami, kalau dia keluar bekerja, pukul berapa nak balik,” ujar Asraf.

Menyentuh tentang Ramadan yang bakal tiba, memandangkan tahun ini merupakan tahun pertama bergelar suami isteri, Intan mengehadkan masa bekerja untuk bersama-sama dengan keluarga.

“Tahun ini tahun pertama kami sebagai suami isteri. Jadi sudah tentu sambutan Ramadan nanti saya akan lebihkan masa dengan suami.

“Saya akan hadkan waktu bekerja ketika di bulan Ramadan.

“Jadual ketika bulan Ramadan nanti penuh dengan aktiviti bersama keluarga sahaja.

“Cuma Aidilfitri nanti, kami belum putuskan sama ada nak beraya belah keluarga saya dahulu atau keluarga mentua. Kami belum bincang,” jelas Intan yang baru selesai menjalani penggambaran drama sempena Aidilfitri.

BACA: “Aku duda kematian isteri, mak aku paksa kahwin dengan perempuan gedik, belum jadi bini dia dah buat anak aku macam anak dia, sekali anak aku mengadu..”