Penciptaan internet adalah satu anugerah kerana dengan teknologi ini, manusia dapat berhubung dan mengakses segala maklumat dengan mudah.
Setiap hari, kita boleh berkomunikasi melalui pelbagai aplikasi seperti Whatsapp, Facebook, dan lain-lain dengan bantuan internet.
Selain itu, produk-produk tradisional seperti surat khabar bercetak telah berevolusi menjadi portal berita dalam talian.
Buku-buku fizikal juga kini boleh diperolehi dalam versi e-Book berkat teknologi internet ini.
Agensi kerajaan dan syarikat swasta juga mula menawarkan perkhidmatan secara dalam talian, yang menjadi alternatif kepada perkhidmatan di kaunter fizikal.
Baru-baru ini, syarikat pembekal data digital untuk perniagaan, Similar Web, mengeluarkan senarai laman sesawang yang sering dilayari oleh rakyat Malaysia pada Februari 2024.
Mari kita fahami apa itu laman sesawang sebelum mengulas data yang disediakan Similar Web.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, laman sesawang adalah sebuah dokumen elektronik pada paparan skrin komputer yang biasanya mengandungi teks, grafik, imej, bunyi, dan sebagainya.
Kandungan-kandungan yang dipaparkan biasanya berkaitan dengan institusi, organisasi, persatuan, individu, dan sebagainya yang boleh diakses dengan menggunakan internet.
Menurut portal Website Rating, terdapat 1.13 bilion laman sesawang yang wujud ketika ini, namun hanya 82% daripadanya yang kekal aktif.
Kembali kepada laman sesawang yang paling banyak dilayari oleh rakyat Malaysia pada Februari, Similar Web mendapati tempat pertama dipegang oleh Google.com.
Kedudukan tinggi ini boleh difahami kerana Google.com adalah enjin carian utama yang digunakan oleh orang ramai setiap hari untuk mencari maklumat di internet.
Oleh itu, tidak menghairankan Google.com juga menduduki kedudukan teratas dalam senarai tersebut di peringkat global.
Diikuti oleh Youtube.com dan Facebook.com yang menyempurnakan kedudukan tiga teratas. Sama seperti Google.com, dua laman sesawang ini juga menjadi laman web kedua dan ketiga yang paling popular di peringkat dunia.
Whatsapp muncul sebagai laman web keempat yang paling banyak dilayari pada Februari di Malaysia, diikuti oleh Instagram, Shopee, dan Twitter (kini dikenali sebagai X).
Aplikasi perbankan, Maybank2U, menduduki tangga kelapan, manakala TikTok dan Yahoo mengisi tangga kesembilan dan kesepuluh.
BACA: Rupanya ini sebab imam besar Masjidil Haram dapat cek kosong sebagai gaji