Google Malaysia telah memohon maaf atas kesilapan pertukaran nilai mata wang dolar Amerika Syarikat dan Ringgit Malaysia yang telah menggemparkan rakyat Malaysia minggu lepas.
Pihak Google menyampaikan permintaan maaf tersebut melalui balasan kepada Bank Negara Malaysia (@BNM_official) dalam ciapan yang dibuat semalam.
Syarikat teknologi tersebut juga telah menghubungi pihak ketiga yang terlibat dalam kesilapan ini untuk memperbetulkannya.
Mereka menjelaskan bahawa masalah berkaitan kadar pertukaran antara kedua-dua matawang tersebut telahpun diselesaikan.
“Masalah ini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” jelas Google.
Google turut menegaskan bahawa maklumat pertukaran matawang yang disediakan adalah untuk tujuan informasi sahaja. Bagi sebarang keputusan berkaitan kewangan, mereka menasihati orang ramai untuk merujuk kepada sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia (BNM).
“Sila rujuk sumber rasmi seperti Bank Negara Malaysia untuk membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan,” tulis Google.
Sebelum ini, telah tular isu berkenaan pertukaran mata wang apabila hasil pengiraan di Google menunjukkan nilai 1USD bersamaan dengan RM4.98. Keadaan ini telah menyebabkan kehairanan di kalangan penduduk Malaysia yang menggunakan mata wang Ringgit Malaysia.
Sebagai respons kepada kejadian tersebut, Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan penjelasan bahawa kadar pertukaran USD1/RM4.98 yang dipaparkan di platform tersebut adalah tidak tepat.
“Maklumat ini tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar,” kata BNM.
BNM juga menasihati orang ramai untuk merujuk kepada data tukaran rasmi, termasuk data yang dibekalkan oleh pihak mereka. Mereka juga dinasihati untuk tidak merujuk, menyebarkan, atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan.
BACA: Remaja kira duit tabung masjid yang dicuri dalam pusat snuker undang reaksi netizen