Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 7.20 malam.
Seorang lelaki dilaporkan maut selepas ditikam oleh rakan sekerja semasa berbuka puasa di asrama pekerja sebuah kilang di Seksyen 36, malam tadi.
Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek lelaki berusia 51 tahun marah kerana mangsa dikatakan meminum air oren suspek ketika berbuka puasa.
“Mangsa yang merupakan warga Bangladesh berusia 49 tahun bekerja sebagai pekerja am. Mangsa dan suspek warga Pakistan berkongsi asrama di dalam kontena yang dijadikan asrama kilang.
“Kejadian dipicu apabila suspek marah kerana mangsa meminum air orennya semasa berbuka, lalu suspek menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal menjelaskan bahawa suspek telah ditahan pada jam 7.30 malam di tempat kejadian dan setelah semakan, didapati mereka merupakan rakan sekerja.
Beliau juga mengesahkan bahawa pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa telah dirampas.
“Penyiasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, suspek juga boleh dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya