Datangnya bulan Ramadan yang penuh berkat menjadi lebih bermakna apabila seorang lelaki warga emas berketurunan Cina memeluk Islam pada Isnin yang lalu.
Rakaman video ketika lelaki berusia 89 tahun ini mengucapkan dua kalimah syahadah telah menyentuh hati orang ramai setelah dikongsikan di platform TikTok.
Menurut pemilik video, Ahmad Shi Rong Xuan, 56, dia sangat bersyukur kerana akhirnya bapanya yang datang dari China telah terbuka hati untuk memeluk Islam.
Ahmad Shi berkata bahawa bapanya, Shi Xing Hua, telah menyimpan hasrat untuk memeluk Islam sejak kecil ketika belajar solat di negaranya, Nanjing, China.
Shi Xing Hua memeluk agama Islam pada Isnin yang lalu.
“Masa ayah saya masih kecil, dia belajar solat di masjid berhampiran rumah kami. Tetapi tidak lama selepas itu, kerajaan tidak membenarkan orang beribadah, jadi bapa saya berhenti pergi ke masjid.
“Tetapi kali ini sedikit berbeza apabila ayah datang ke Malaysia untuk melawat saya beberapa hari lalu. Dia terkejut apabila melihat begitu ramai orang di negara ini menyembah Allah yang satu.
“Jadi terdetik di hati dia untuk memeluk Islam dan belajar semula solat yang sudah lama dia tinggalkan,” ujarnya yang senang disapa Shi.
Tambah Shi yang memiliki Restoran Cina Muslim Kui Guang Ge di ibu kota, pengislaman bapanya dibantu oleh rakan baiknya sendiri, Imam Ma Peng.
Dalam beberapa video yang dikongsikan, kelihatan bapanya turut belajar mengambil air wuduk ketika hadir di sebuah masjid untuk solat tarawih.
“Bapa saya akan belajar secara perlahan-lahan untuk melakukan kewajipan seperti dalam tuntutan Islam. Buat masa sekarang dia tidak boleh lagi berpuasa secara tiba-tiba.
“Kawan saya yang mengajar ayah cara solat dan mendalami ilmu agama serta membantunya memeluk agama Islam,” sambil menambah bahawa proses pendaftaran Islam bapanya akan dilakukan pada 29 Mac akan datang.
Bercerita lanjut mengenai dirinya sendiri, Shi berkata dia memeluk Islam pada tahun 2000 selepas berkahwin dengan pasangannya yang juga berasal dari China.
Namun, berbeza dengan situasi yang dihadapi Shi apabila isterinya dilahirkan dalam keluarga Islam.
Shi Xing Hua masih dalam proses pembelajaran untuk mendalami Islam.
Kini, Shi yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya sudah berada di Malaysia sejak lima tahun lalu bersama isterinya.
Imbas Shi, pengalaman belajar di dalam masjid yang ditinggalkan sejak sekian lama adalah pendorong baginya untuk mendekati Islam.
“Setelah meningkat dewasa, akhirnya saya memeluk Islam sebelum berkahwin.
“Saya berharap perkongsian saya ini dapat memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk lebih mengenali agama Islam,” jelasnya.
BACA: Luluh hati suami apabila menyaksikan sendiri kecurangan isteri dengan lelaki lain di sebuah hotel