Pengemis di Kelantan raih hasil sedekah cecah 5 angka! Kalah gaji Menteri Besar

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Memberi sedekah kepada yang memerlukan telah menjadi amalan biasa, terutama dalam bulan Ramadan.

Namun, ada segelintir individu yang nampaknya mengambil kesempatan atas kebaikan yang dilakukan oleh orang ramai.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendedahkan bahawa pengemis di negeri ini mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sepanjang Ramadan.

Pengemis di Kelantan raih hasil sedekah cecah 5 angka! Kalah gaji Menteri Besar

Pengarah JKM negeri, Said Sudip, mengesahkan perkara itu berdasarkan hasil operasi bersepadu yang dilakukan, mendapati seorang pengemis mampu memperoleh pendapatan melebihi RM300 sehari.

“Setiap tahun, aktiviti ini menjadi trend pada Ramadan, malah jumlah pengemis juga meningkat, sama ada dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pendatang terutamanya dari Thailand.

“Antara alasan yang sering diberikan oleh pengemis ini adalah tiada pendapatan, wang tidak mencukupi, masalah mental, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah 2024 di Sekolah Kebangsaan Rahmat.

Said juga menyatakan bahawa ada warga tempatan dan pendatang yang sihat tubuh badan tampil berpura-pura sakit atau cacat untuk mendapatkan simpati orang ramai.

Ekoran sifat pemurah penduduk tempatan, ini juga menjadi faktor peningkatan aktiviti mengemis di negeri itu.

JKM Kelantan telah menahan 25 pengemis berusia lingkungan 30 hingga 70 tahun dalam tiga operasi berkala sepanjang Ramadan ini, dan satu operasi bersepadu dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi penguat kuasa.

“Pengemis asing akan diserahkan kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut, manakala amaran akan diberikan kepada pengemis tempatan bagi mengekang aktiviti itu,” tambahnya.

BACA: “Alhamdulillah perkataan pertama lepas dicerai suami, jadi isteri yang tak pernah dianggap isteri, tak tahan asyik kena maki je”