Penahanan Shalom Avitan, yang disyaki perisik Israel dalam misi membunuh seseorang di negara ini pada Rabu lalu, mengingatkan kembali pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur’
British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr. Fadi M R Albatsh Fatma, di Setapak pada 21 April 2018.
Pembunuhan Dr. Fadi, 35, mendapat liputan meluas dan menjadi kontroversi apabila Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash,
mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel, Mossad.
Portal Defence Security Asia (DSA) melaporkan, media Israel yang mengutip sumber keselamatan negara mereka menyatakan Fadi bukanlah ahli akademik biasa tetapi pakar dalam teknologi untuk gerakan pejuang, terutama berkaitan dengan pesawat tanpa pemandu atau dron.
Pembunuhan pensyarah Palestin di ibu negara itu menarik perhatian dunia yang mendakwa ia dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, yang terkenal dengan misi pembunuhannya terhadap ‘musuh-musuh’ Israel di seluruh dunia.
DSA melaporkan bahawa misi pembunuhan oleh Mossad biasanya dilakukan oleh unit rahsianya yang dikenali sebagai ‘Kidon’, dengan tugas utama mereka hanya satu, iaitu melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenal pasti oleh agensi perisikan Israel itu.
Menurut laporan portal berkenaan, taktik atau modus operandi yang digunakan dalam pembunuhan Dr. Fadi adalah sama dengan yang dilakukan oleh anggota unit ‘Kidon’ Mossad dalam siri-siri pembunuhan mereka di seluruh dunia.
Dalam kejadian jam 6 pagi pada 21 April 2018, Dr. Fadi dilaporkan maut selepas ditembak lebih 20 kali di badan dan kepala ketika sedang menuju ke Surau Medan Idaman, Setapak, bagi menunaikan solat Subuh.
Menurut saksi kejadian, mangsa tiba-tiba didatangi dua lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi yang melepaskan beberapa das tembakan terhadap pensyarah itu yang membunuhnya serta-merta.
Ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu memiliki ciri-ciri wajah Timur Tengah dan menggunakan pasport dua buah negara di rantau Balkan iaitu Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.
Dr. Fadi pernah menetap di utara Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI. Allahyarham adalah jurutera Palestin dan terlibat dalam pergerakan pejuang Hamas.
Pada kelmarin, PDRM dilaporkan menahan seorang lelaki Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
DSA melaporkan bahawa unit ‘Kidon’ ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.
Sebagai tindak balas Israel terhadap insiden itu, Mossad telah melancarkan operasi ‘Wrath of God’ di mana anggota unit ‘Kidon’ selepas diberikan maklumat oleh anggota lain Mossad, telah memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap atlet Israel pada temasya sukan itu.
“Dalam operasi pembunuhan yang berlaku daripada 1972 hingga 1988, unit ‘Kidon’ dikatakan bertanggungjawab terhadap 22 insiden pembunuhan terhadap pemimpin dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu dipimpin oleh Yasser Arafat.
“Sejak 1972, terdapat lebih daripada 100 kes pembunuhan dikaitkan dengan Israel, namun adalah sukar untuk mengaitkannya dengan negara itu, apatah ia tidak pernah mengakuinya secara terbuka atau menafikannya.
“Bilangan sebenar bilangan mereka yang terkorban akibat tindakan kejam oleh unit ‘Kidon’ itu berkemungkinan besar tidak akan diketahui oleh masyarakat dunia sampai bila-bila dan kekal menjadi rahsia Mossad dan pentadbiran Israel,” kata portal berkenaan.