Pasangan suami isteri berusia 36 dan 24 tahun telah ditangkap oleh polis kerana disyaki melakukan transaksi perbankan menggunakan telefon bimbit yang ditemui di tepi jalan.
Mereka dilaporkan memindahkan sejumlah 120 juta rupiah (RM34,045) menggunakan aplikasi perbankan yang terdapat dalam telefon pintar yang mereka jumpai di Jakarta Selatan.
Hanya beberapa jam selepas tindakan itu, mereka ditahan di Stesen Pasar Senen, Jakarta Pusat.
Jurucakap polis, Mashuri, menjelaskan bahawa pasangan itu baru sahaja berkahwin.
“Mereka menemui sebijik telefon pintar Samsung Galaxy A3 di kawasan Mampang.
Selepas membuka telefon tersebut, mereka mendapati aplikasi perbankan Bank Republik Indonesia (BRI) Mobile dan berjaya mengaksesnya dengan cara lupa kata laluan,” katanya.
“Kemudian, mereka memindahkan jumlah wang sebanyak 120 juta rupiah ke akaun isteri,” tambahnya.
Mashuri menjelaskan bahawa pemilik asal telefon bimbit tersebut kemudiannya melaporkan kehilangan telefon dan mendapat notifikasi mengenai pemindahan duit tersebut.
Polis berjaya menahan pasangan itu berdasarkan maklumat daripada transaksi perbankan. Selain daripada itu, mereka juga merampas empat telefon bimbit, tiga kad ATM, enam perhiasan emas, dan wang tunai sebanyak lima juta rupiah (RM1,418) semasa penahanan pasangan tersebut.