Assalamualaikum, ini merupakan kali pertama aku confess di sini. Selama ni aku cuma jadi pembaca yang setia, menyelami susah payah pahit manis hidup orang lain di sini.
Aku tak pernah terfikir akhirnya aku akan meluahkan kisah hidup sendiri.Cerita aku bukan lah ada apa sangat untuk di keluh kan.
Aku sudah berkahwin hampir 8 tahun dan belum mempunyai cahaya mata.
Suami aku dahulunya hanya seorang mekanik di bengkel cina dan sekarang telah bertukar status kepada boss di sebuah company yang sedang membangun.
Aku berkenalan dengan suami semasa aku menuntut di universiti di KL. Aku hantar motor yang rosak ke bengkel tempat suami bekerja.
Masa tu suami banyak ajarkan aku perkara asas tentang motor, minyak hitam, macam mana nak jaga semua jadi aku mula tertarik dengan suami.
Suami aku seorang lelaki yang sangat segak pada mata aku walaupun setiap kali berjumpa di bengkel baju seluar nya bercalit minyak dan kain buruk sentiasa tersangkut di bahu.
Aku meminta no telefon nya untuk bertanyakan perihal motor dan daripada situ berlanjutan sehingga ke jinjang pelamin.
Selepas aku tamat belajar aku bekerja di sebuah company dengan gaji basic yang sangat rendah. Aku dan suami mengumpul duit kahwin dan mendirikan rumah tangga dua tahun selepas aku mula bekerja.
Family aku menyambut baik kehadiran suami dalam keluarga walaupun dia hanya bekerja sebagai mekanik.
Abah kata suami aku seorang yang rajin dan berbudi bahasa. Abah suka dengan suami aku. Walaupun menantu abah yang lain (suami/ isteri kakak dan abang aku) bekerja hebat abah tetap meraikan suami aku sama seperti menantu lain.
Kehidupan semasa awal perkahwinan sangat mencabar. Gaji aku dan suami hanya cukup untuk membayar sewa dan keperluan asas.
Kami tidak mempunyai kereta. Suami akan menghantar aku ke tempat kerja menaiki motosikal dan akan terus ke tempat kerjanya.
Sesekali bila hujan lebat aku akan menaiki KTM ke tempat kerja. Pada masa itu tambang KTM pun agak mahal bagiku jadi aku berdoa setiap hari supaya hujan hanya turun semasa hujung minggu.
Aku akan masak dan menyediakan bekal untuk aku dan suami bawa ke tempat kerja. Suami kata kawan sekerja sentiasa mengusik katanya kami pasangan yang romantik tetapi sebenarnya itu sahaja cara yang kami mampu buat untuk berjimat cermat.
Kami menyewa di flat kos rendah dan rumah kami hanya mempunyai perabot asas seperti tilam, dapur gas dan tv flat 28 inci yang kakak berikan. Perabot lain terpaksa ditangguhkan dulu kerana kami kena berjimat cermat.
Walaupun hidup susah saat itu aku dan suami sangat bahagia. Kami jarang bergaduh dan rumah tangga kami sangat harmoni.
Selepas beberapa tahun suami aku mula berjinak dengan perniagaan spare part dan aksesori kereta. Siang malam aku berdoa semoga perniagaan suami aku berjaya dan doa aku akhirnya termakbul.
Selepas berpanas hujan dan bekerja keras suami aku berjaya membuka sebuah company supplier. Income company yang mulanya hanya tiga angka meroket menjadi 5 angka sebulan.
Sedikit demi sedikit suami mengubah kehidupan kami dari rumah flat ke rumah teres mewah. Suami upah interior designer dan menghias rumah kami sehingga menjadi rumah idaman yang selalu di keluar di majalah majalah dekorasi.
Dulu meja makan pun kami tak mampu untuk beli tetapi meja makan rumah kami diperbuat daripada kayu jati mahal dan mampu memuatkan hampir 10 orang.
Segala galanya berubah, dari motor buruk yang aku dan suami tunggang ke sana sini telah diganti dengan vellfire.
Suami juga menghadiahkan aku kereta mazda untuk memudahkan aku pergi kemana mana. Semasa ketiadaannya di rumah. Aku telah berhenti kerja dan kini bergelar suri rumah sepenuh masa.
Pada mula nya kehidupan kami, aku sangat bersyukur dan masih tidak percaya setiap kali aku buka mata aku berada di rumah yang sangat mewah tetapi lama kelamaan semuanya tidak lagi membuatkan aku rasa apa apa.
Setiap kali aku buka mata suami aku telah pun bergerak ke tempat kerja dan hanya akan pulang lewat malam.
Suami aku masih bekerja keras, setiap hari akan jumpa client dan meeting sana sini. Aku keseorangan di rumah. Apabila suami pulang selalunya aku telah pun terlena.
Suami ada meletakkan cctv di setiap bahagian di ofis nya dan aku boleh access cctv tersebut daripada hp. Sesekali bila aku rasa sunyi aku akan buka cctv dan lihat betapa gigih nya suami aku bekerja dan aku akan menangis sendirian. Hidup aku jadi terlalu sunyi dan d3press.
Kawan kawan yang tinggal di sekitar KL kebanyakkannnya bekerja. Jadi aku tiada teman untuk meluangkan masa bersama. Kebanyakkan waktu aku habiskan masa di shopping mall berjalan tanpa arah selama berjam jam lamanya.
Aku masih lagi belum biasa membeli barangan mahal jadi aku tidak shopping. Handbag harga 300 bagi aku dah terlalu mahal. Aku cuma akan belek dan letak balik.
Kad bank yang suami aku bagi untuk shopping aku habiskan dengan makan di tempat tempat mahal. Makanan adalah terapi aku. Hampir semua tempat makanan mahal yang dulunya tak mampu aku rasa akan aku jejak.
Selepas main dish aku akan pergi ke kedai dessert pula. Kemudian aku akan berjalan untuk beberapa jam dan lunch di tempat mahal yang lainnya. Semuanya masih belum mampu mengisi kekosongan di hatiku.
Aku berjalan keseorangan di shopping mall dengan jiwa yang sangat kosong. Terlalu kosong. Aku kesunyian dan tertekan.
Pernah beberapa kali aku duduk di bangku di dalam mall dan memerhatikan gelagat manusia selama beberapa jam. Aku tidak mahu pulang ke rumah kami. Rumah itu terlalu sunyi dan menakutkan bagi aku.
Aku akan duduk di dalam kereta berjam lamanya sehingga kadang kadang aku terlelap. Bila tersedar aku menangis semahunya. Kadang kadang aku akan membawa kereta dengan laju untuk menghilangkan tekanan yang ada di dalam diri ini.
Aku tak peduli dengan hon di kiri dan kanan, tetapi bila aku tersedar aku cepat cepat istighfar. Aku pernah hampir berlaga dengan belakang lori akibat perbuatan aku ini tetapi aku sempat brek sehingga berbunyi kereta dan tayar berasap.
Aku ingin ceritakan pada suami tetapi aku tahu suami tidak akan ada masa untuk mendengar semuanya.
Aku pernah cuba menghadiri kelas agama dengan ustazah terkenal yang mana kosnya mencecah ribu ringgit sebulan.
Kelas dijalan kan sekali setiap minggu dan ahli kelas agama semuanya orang kenamaan dan artis artis yang kini telah berhijrah. Aku rasa sangat kekok untuk menyesuaikan diri.
Aku tak tahu la mungkin ini hanya perasaan aku tetapi mereka seolah olah kurang mesra dengan golongan selain daripada circle mereka jadi selepas beberapa bulan aku drop out dari kelas tersebut.
Aku pernah cuba untuk mula kan bisnes tetapi aku zero knowledge dalam bisnes akhirnya aku give up.
Suatu malam suami aku pulang dalam keadaan keletihan. Belum sempat aku berkata apa apa dia memelukku dan terus terlelap.
Aku melihat wajahnya dalam dalam, aku rindukan suami aku yang dulu. Yang sederhana, yang hanya berkain pelikat dan baju t-shirt lusuh tetapi sentiasa ada di sisiku, menonton tv dan ketawa bersama sama.
Kini semuanya telah lenyap. Malam itu juga aku menangis sekuat hati sehingga suami aku terjaga. Suami aku panik melihat keadaanku. Aku ceritakan segalanya betapa aku terlalu sunyi aku hampir rasa nak giila.
Aku menangis sehingga ke pagi di dalam pelukkan suami. Suami berkali kali memohon maaf dan berjanji akan mengubah semuanya. Aku bukan tidak bersyukur tetapi sejujurnya aku rindukan kehidupan kami yang dulu. Kehidupan yang susah tapi cukup membahagiakan.
Dipendekkan cerita aku sekarang sedang menjalani sesi kaunseling setiap bulan. Aku di diagn0s dengan d3pr3ssion tahap 3.
Suami cuba mengubah kembali kehidupannya yang sibuk dengan sentiasa menemani aku di rumah. Suami mengupah adiknya menguruskan sebahagian kerja di ofis dan akan membawa aku bercuti untuk aku reda kan perasaan ini.
Dia sentiasa memantau tingkah laku aku dan memastikan aku sentiasa berada di depan mata. Sekarang kami sedang berusaha untuk mempunyai anak, moga ada rezeki nya untuk kami. Aamiin.
Mohon doa kalian semua supaya aku kembali sembuh ye. Terima kasih.
Reaksi warganet
Nabilah Zaki –
Puan cuba join kelas kelas kemahiran pula. Kelas buat kek ke, kelas menjahit ke. Kat Giatmara pun ada. Kursus pendek. Takdelah boring sangat. Yang penting dapat jumpa orang, dapat berkawan, berborak. Semoga puan cepat sembuh dan dipermudahkan urusan zuriat puan sekeluarga.
Nell Yahya –
Pastikan hala tujuan hidup ko dik, tanya diri apa yang ko minat. Semua tu ada dalam diri kita. Gunalah masa yang ada ini sebaiknya sebelum tibanya saat yang kita tak mampu lagi nak urus segalanya sendirian.
Bahagia juga pilihan. Pilihlah jalan bahagia. Jangan diturut nfsu yang bakal merosak diri. Dalam apa jua keadaan, baik sukar mahupun senang pastikan Allah sentiasa di hati. Inshaa Allah tenang diri.
Hani Zuhanie –
Confessor, bersyukurlah. Kehidupan sis semakin berubah lebih baik. Maybe i suggest u join NGO, bagi makan pada gelandangan ke, ibu tunggal ke, anak anak yatim ke, stray cat dogs ke.
U have enough money to do that. Pahala dapat, kawan dapat. Masa u terisi dengan lebih berfaedah. Daripada u buang masa jalan sorang sorang dekat mall. Sementara masih berdua je ni. Moga dipermudahkan dapat cahayamata.
Maria Mohd Tahir –
Saya juga masih ttc seperti puan dan umur tidak berapa lama lagi bakal mencecah 40 an. Saya faham benar kesunyian yang puan rasa. Kalau puan belum buat rawatan kesuburan saya sarankan puan ke hospital swasta yang bagus contohnya hospital pantai dan KL fertility. Rasenye puan takde masalah kewangan kan.
Tentang isi masa lapang pula puan boleh cipta hobi baru. Saya sendiri ada banyak hobi untuk isi masa lapang dan elakkan kesunyian dan kesedihan akibat sunyi. Saya belajar baking, belajar menjahit dan melukis. Semua saya buat untuk isi masa lapang. Semog puan sembuh dari d3presi, ameen.
Imran Akasyah –
Begitulah kehidupan. Kita dapat satu bahagian, kita hilang bahagian yang lain. Kalau dulu dapat perhatian dan kasih sayang namun stress sebab tak cukup duit. Kemudian Allah bagi rezeki yang tak pernah kita kecapi sebelumnya namun hilang perhatian dan kemanisan kasih sayang.
Pokok pangkalnya, hidup ni kita takkan dapat segalanya yang kita inginkan. Kita dapat bersabar, mungkin dengan sokongan situasi. Namun kita lupa, nilai yang lebih tinggi dari bersabar adalah bersyukur.
Puan dapat bantu diri puan untuk lebih bersyukur, mengisi kesunyian dengan membantu insan yang kurang bernasib baik. Bukan hanya dengan wang, tapi dengan menyelami hidup mereka. Kerna puan lebih arif dalam erti kesusahan. Sudah pasti “kesenangan” puan juga ada hikmah disebaliknya.
Sumber – Mira