Thailand telah memperkuatkan undang-undang yang melarang perkahwinan di bawah usia 17 tahun selepas insiden seorang lelaki Malaysia berkahwin dengan…
Thailand telah memperkuatkan undang-undang yang melarang perkahwinan di bawah usia 17 tahun selepas insiden seorang lelaki Malaysia
berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari negara itu di Sungai Golok, selatan Thailand pada tahun 2018.
Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat,
menyatakan bahawa peraturan itu dikuatkuasakan pada tahun yang sama apabila isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun tersebut menimbulkan kontroversi.
Menurut Abdul Aziz, peraturan tersebut disahkan oleh Pusat Komuniti Islam Thailand untuk menghalang kejadian serupa daripada berulang.
“Pada 18 Jun 2018, perkahwinan antara lelaki tersebut dengan kanak-kanak yang berusia empat kali lebih muda daripadanya sebagai isteri ketiga telah mengejutkan bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Malaysia.
“Ia merupakan pengalaman pertama bagi Majlis Agama Islam Narathiwat sejak penubuhannya 30 tahun lalu. Sebelum ini, kami tidak pernah menghadapi kes perkahwinan pasangan dengan jurang usia sebegini di Thailand dan ia adalah sejarah bagi kami,” katanya.
Sebagai tindak balas kepada kes tersebut, pihak berkuasa Thailand telah mengarahkan pasangan tersebut menjalani perpisahan secara ‘mufaraqah’.
Pada tahun 2018, Pusat Komuniti Islam Thailand telah mengharamkan perkahwinan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah. Peraturan ini diumumkan di semua masjid di negara tersebut, termasuk di selatan Thailand.
Wistu Binlateh, Pengarah Koordinasi komuniti (Pejabat Islam Sheikhul), menyatakan bahawa komuniti itu telah meluluskan usul itu pada November 2018.
Peraturan tersebut melarang mana-mana masjid memberi kebenaran untuk perkahwinan melibatkan kanak-kanak di bawah 17 tahun kecuali ia mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan persetujuan ibu bapa dengan dokumen yang diluluskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Wilayah atau mana-mana balai polis tempatan.
Sebuah jawatankuasa juga telah ditubuhkan untuk menilai perkahwinan melibatkan kanak-kanak dan memberi kebenaran jika ianya adalah untuk kebaikan pasangan.
Sebelum ini, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun diketahui mengambil seorang kanak-kanak sebagai isteri ketiga pada 18 Jun 2018. Beberapa gambar perkahwinan itu tersebar melalui media sosial selepas dikongsi oleh isteri kedua lelaki tersebut.