Dua pelajar dari Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mencapai kejayaan cemerlang dengan meraih tempat kedua
Di peringkat global dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Menurut kenyataan dari Fakulti Perakaunan UiTM, kedua-dua pelajar tersebut ialah Nur Ilhan Nurina Mohd Oslan
Dan Muhammad Fawwaz Mohammad Masrin, yang masing-masing berasal dari kampus Shah Alam dan Tapah, Perak.
Dalam peperiksaan yang berkenaan, Nur Ilhan berjaya menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di peringkat dunia bagi kertas peperiksaan Audit and Assurance (AA).
Sementara itu, Muhammad Fawwaz meraih tempat pertama di Malaysia dan kedua di peringkat dunia untuk Top ACCA FIA Prize Winner bagi kertas peperiksaan Management Information (MA1).
“Kejayaan yang konsisten daripada pelajar-pelajar ini memberikan impak yang positif serta menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada rakan sejawat, keluarga, pihak fakulti, UiTM, dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Sebagai fakulti terbesar di Malaysia dalam bidang perakaunan, Fakulti Perakaunan UiTM mempunyai tanggungjawab yang penting, di mana setiap tahunnya, fakulti ini menghasilkan kira-kira 50 peratus graduan perakaunan dari semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) negara,” demikian kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa Fakulti Perakaunan merupakan salah satu fakulti yang tertua di UiTM yang bertujuan untuk melahirkan lebih ramai akauntan bertauliah. Sekarang, fakulti ini sedang mengambil langkah untuk mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan jumlah graduan profesional dalam bidang perakaunan negara kepada 60,000 orang menjelang tahun 2030.
“Oleh itu, fakulti sedang meluaskan peluang pengajian profesional perakaunan bagi pelajar lepasan SPM di kedua-dua kampus cawangan Tapah dan Dungun, selain daripada di Shah Alam sahaja.
“Fakulti Perakaunan sentiasa berusaha untuk menghasilkan graduan perakaunan yang bersedia untuk pasaran dengan menawarkan program akademik berkualiti yang diiktiraf oleh pelbagai badan profesional dalam dan luar negara termasuk
Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), Certified Public Accountants (CPA, Australia), dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW),” jelasnya.