Pelakon, pengacara, dan pelawak terkenal, Jiggy, 34 tahun telah berbincang dengan isterinya, Nur Dhabitah Sabri, yang juga seorang
atlet terjun negara mengenai ketidakselesaan yang dialami oleh isterinya ketika mengenakan pakaian renang semasa beraksi dan dipertontonkan kepada umum.
Perbincangan ini juga berlaku sebelum mereka mendirikan rumah tangga dan penerjun renang negara tersebut ada meminta izin darinya
untuk terus aktif hingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Jiggy menjelaskan bahawa isterinya, Dhabitah, menyatakan pendiriannya bahawa jika ada satu format pakaian baru
yang dicipta untuk menutup aurat, Dhabitah akan menyokong dan menggunakan sepenuhnya.
“Sebelum kahwin dia sudah ajak saya berbincang banyak perkara termasuk isu pemakaiannya dalam sukan terjun.
“Sebelum kami ambil keputusan berkahwin, dia minta izin terlebih dulu untuk terus aktif sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Namun, jika dia tidak diperlukan, dia akan berhenti awal. Tapi memandangkan pelapis baru pun masih dalam proses pencarian lagi, jadi dia masih berkhidmat,” katanya.
Jiggy juga menyatakan bahawa buat masa ini, dia memilih untuk tidak mengendahkan komen-komen negatif mengenai pemakaian pakaian renang oleh isterinya yang sedang beraksi di Sukan Asia di Hangzhou, China.
Jiggy menekankan bahawa sebagai suami, dia sentiasa menyokong dan memahami etika pemakaian pakaian renang oleh isterinya yang diperlukan semasa latihan atau pertandingan.
“Itu saja pakaian rasmi sukan untuk acara terjun. Kalau orang lain nak bercakap, saya tak boleh buat apa kerana mereka akan tetap mencari salah.
“Selagi dia masih diperlukan untuk berkhidmat demi negara, saya akan sentiasa menyokong dan faham situasinya.
Selepas kejayaan Dhabitah dan Datuk Pandelela Rinong meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita di Sukan Asia, Jiggy menberitahu bahawa pada awalnya dia tidak membenarkan isterinya menyertai acara tersebut.
“Pada awalnya saya tak benarkan Dhabitah sertai Sukan Asia kerana dia masih menjalani rawatan selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan pada Julai lalu.
“Kalau ikutkan keadaan kesihatannya masih belum mengizinkan dia untuk beraksi tapi demi semangat untuk negara dia yakinkan dirinya mampu buat yang terbaik.
“Alhamdulillah tak sangka kejayaan berpihak kepadanya. Orang boleh cakap kenapa hanya menang gangsa tapi untuk dia berada di situ pun adalah satu pencapaian besar,” katanya.
Baca juga: Wanita tergamam anak bawa balik makanan jamuan raya campur dalam satu bekas