Setiap perkara yang diciptakan mempunyai tujuan tersendiri. Bagi sesiapa yang suka memerhatikan pemandangan ketika dalam perjalanan jauh,
mungkin pernah tertanya-tanya tentang fungsi ‘bola’ yang dipasang pada wayar pencawang elektrik sepanjang jalan.
Mengapa ‘bola’ itu dipasang pada wayar tersebut? Inilah jawapannya.
Menurut seorang bekas jurutera elektrik yang menjawab persoalan ini di laman Quora, Paul Montgomery berkata,
bebola tersebut bertujuan untuk menjadi penanda keselamatan paras wayar kepada pesawat, belon udara panas, dan penerjun udara.
Pesawat seperti helikopter biasanya terbang lebih rendah di lokasi gunung dan lembah, tasik, sungai, serta kawasan berhampiran dengan lapangan terbang atau lokasi mendarat.
Oleh itu, penanda ini diperlukan bagi memberi panduan kepada juruterbang supaya tidak terlanggar wayar yang sukar dilihat dari jauh.
Menurut Federal Aviation Administration (FAA), bola penanda ini harus dihasilkan dengan standard diameter minimum 36 inci bersamaan 91 cm. Saiz yang lebih kecil iaitu pada 20 inci (51 cm) boleh digunakan pada wayar dengan ketinggian kurang dari 15 meter.
Tahukah anda, ‘bola’ ini mempunyai warna yang berbeza bergantung kepada lokasi pencawang berkenaan?
Warna standard penanda ini ialah oren, kuning, dan putih. Manakala di kawasan lembah serta sungai, pencawang akan dilengkapi dengan bola bercampur warna antara ketiga-tiga pilihan tersebut.
Bola ini direka untuk memenuhi kriteria mudah dilihat pada jarak 4000 kaki bersamaan 1,219 meter radius (jarak sekeliling antara penanda dengan pesawat) supaya mampu dilihat dari setiap sudut.
Bola ini dipasang pada jarak 61 meter antara satu sama lain di kebanyakan kawasan. Namun semakin dekat pencawang dengan kawasan kritikal seperti lapangan terbang, lembah, sungai, dan sebagainya, jarak antara penanda dikurangkan kepada 10 hingga 15 meter.