Jabatan Imigresen (JIM) telah menumpaskan sebuah premis pelacuran yang beroperasi selama 30 tahun di Jalan Pasar Baru, kemarin, menerusi Operasi Khas.
Operasi yang bermula pada pukul 10.20 malam itu melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya dan JIM Perak.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, menyatakan serbuan itu berdasarkan aduan orang awam dan risikan selama tiga minggu.
“Antara wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada 37 warga Vietnam, 3 dari Indonesia, dan 1 dari Myanmar.
“Sementara itu, lelaki yang ditahan melibatkan 5 warga Bangladesh, 2 dari Vietnam, 1 dari India, 1 dari Pakistan, dan 1 dari Indonesia.
“Kesemua 51 warga asing yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pusat pelacuran tersebut menawarkan khidmat urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada pelanggan warga asing dan tempatan.
“Urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran dijalankan di tingkat satu.
“Pelanggan memilih perempuan warga asing untuk dilayan dan bayaran dibuat di dalam bilik di tingkat yang lain.
“Bayaran yang dikenakan adalah antara RM80 hingga RM150 untuk satu jam. Premis ini telah beroperasi selama lebih kurang 30 tahun,” katanya.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, semasa serbuan, ada cubaan wanita warga asing melarikan diri dan provokasi dalam kalangan pelanggan, namun semuanya digagalkan oleh anggota yang bertugas.
“Semua warga asing ditahan atas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, dan Akta Pasport 1966.
“Mereka akan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil. Seramai lima orang lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
BACA: Malaysia Airlines pun tak perasan, logo wau pada logo sebenarnya bukan wau bulan ramai tak tahu