Heboh di media sosial di negara jiran apabila seorang lelaki di Halmahera Selatan
, wilayah Maluku Utara di Indonesia terkejut sejurus mengetahui bahawa isterinya ternyata seorang lelaki tulen.
Memetik laporan Detik, Naim Saban, 25, mengahwini Dela La Udin, 26, pada 15 Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Kampung Sekly, Malik Hi Daud berkata, ketika acara pernikahan berlangsung, mereka tidak berasa curiga terhadap jantina Dela.
“Pada hari Rabu (15 Mei 2024), mereka bernikah dan saya juga hadir.
“Ketika itu, kami melihat Dela kelihatan cantik dan belum mengetahui bahawa dia ialah seorang lelaki,” kata Malik.
Walau bagaimanapun, hal tersebut terbongkar selepas seorang gurunya memuat naik gambar Dela semasa sekolah menengah yang jelas menunjukkan dia seorang pelajar lelaki.
“Selepas gambar itu tular, saya memberitahu anak imam yang menyolek wajah Dela.
“Saya menyuruh mereka memeriksa anggota kelamin Dela untuk memastikan perkara tersebut,” ujarnya.
Tambah Malik, Dela dikatakan enggan ditemani sesiapa pun ketika dia mahu menyalin pakaian pengantin, membuatkan mereka berasa curiga.
Perkara itu akhirnya dapat dipastikan selepas beberapa penduduk mahu memeriksa anggota badan Dela dan dia akhirnya membuat pengakuan.
Keluarga Namin yang mendapat tahu hal itu turut berang dan mahu membawa Dela ke balai polis.
Selepas dibawa ke pejabat pemerintah setempat, Dela akhirnya membuat permohonan maaf dan mengaku bahawa dia seorang lelaki.
“Saya, selaku pelaku yang membuat keadaan menjadi kecoh di Kampung Sekly, memohon maaf. Saya sebenarnya lelaki,” ujarnya.
BACA JUGA : ‘Ajal jodoh ditangan tuhan’ Wanita diminta kahwin dengan majikan lepas 3 hari bekerja