Aku adalah anak dari keluarga yang broken. Bukan broken sebab ibu bapa bercerai, tapi sebab ibu bapa ada, tapi tak pernah bersatu. Anak-anak jadi mangsa.
Ayah aku seorang guru, mak seorang suri rumah. Orang luar memandang tinggi kepada kami sekeluarga, anak guru dan semua pandai-pandai.
Semua anak hebat dalam setiap peperiksaan dan berjaya sehingga menara gading.
Keluarga besar semua menjadikan kami contoh kepada anak-anak mereka. Tapi orang tak tahu apa yang kami lalui.
Ayah dan mak dua2 sangat garang. Ayah suka menengking dan kurang bertanggungjawab keatas keluarga.
Dan mak pula suka menyalahkan takdir dan suka merotan anak-anak.
Setiap hari pasti akan ada tengkingan dan merotan. Sehingga aim aku untuk belajar pandai-pandai bukan untuk berjaya, tapi untuk masuk asrama dan keluar dari rumah aku.
Dari kecil aku dan adik beradik aku dah diterapkan yang kami orang susah, adik beradik ramai padahal tak sampai 5 orang. Dan mak sentiasa cakap tak ada duit. Setiap benda yang kami nak, kena cari duit sendiri.
Dari kecil semua benda akan dicatu, makan minum ada had setiap seorang, pakaian akan ambil yang besar supaya boleh pakai bertahun-tahun. Ya, walaupun kami anak guru.
Bila kita dibesarkan dengan keluarga yang broken, yang penuh dengan amarah dan tengkingan, anak-anak juga akan membesar dengan ego yang tinggi. Tiada nada yang lembut antara kami adik beradik.
Tengkingan antara anak-anak dan mak ayah itu perkara biasa dan setiap orang cuba menunjukkan bahawa mereka lebih hebat.
Sehingga kini, anak-anak hidup berjaya tapi tidak pernah bersatu. Bagi orang luar mungkin nampak keluarga yang akrab, yang selalu berkumpul, selalu berbakti untuk mak ayah. Tapi disebalik semua itu, penuh dengan kepalsuan, perbalahan dan pergaduhan.
Fungsi mak ayah yang sepatutnya menjadi kepala keluarga sudah lama tiada. Anak-anak mendominasi untuk buat keputusan dan setiap kepala berlumba-lumba menjadi ketua dan akhirnya, setiap benda akan berakhir dengan perbalahan.
Alhamdulillah ayah telah berubah, sudah semakin lembut dan tidak lagi marah2 selepas anak-anak berkahwin dan kini bercucu. Tapi ya, trauma itu masih ada. Sukar untuk memberi kasih sayang jika dari dulu kita tidak dilayan dengan kasih sayang.
Mak, masih begitu. Pantang dicuit pasti akan menengking. Masih suka menyalahkan takdir, dan masih berkira seperti dulu.
Setiap hari di telefon, hanya rungutan yang menjadi halwa telinga. Setiap benda serba tak kena dan setiap dendam lama masih diulang ungkit.
Dulu aku merasakan bahawa broken family itu adalah keluarga yang bercerai-berai. Tapi sesungguhnya broken family itu juga adalah keluarga yang tidak bersatu.
Kini walaupun telah mempunyai keluarga aku sendiri, aku masih cuba keluar dari trauma lama. Cuba memberikan kehidupan terbaik untuk anak-anakku supaya tidak merasakan perkara yang sama.
Dan yang paling utama, aku cuba untuk tidak menjadi ibu bapa toksik untuk anak-anakku.
Aku tidak pernah membenarkan anak-anakku untuk memberikan layanan berbeza untuk atuk dan nenek mereka di kedua-dua belah keluarga aku dan suami seperti mana ibuku dulu yang sering tanamkan kebencian kami kepada keluarga ayahku.
Tapi aku hanya cuba, bila mana keluargaku masih dengan sikap yang lama, anak-anakku sendiri yang pilih untuk menjauhkan diri.
Dan aku sebagai ibu, haruskah aku menjauhkan diriku dan anak-anakku dari keluargaku?
Adakah dengan menjauhkan diri akan membuatkan trauma aku tidak perlu dihadap oleh anak-anakku?
– Anak Yang Trauma (Bukan nama sebenar)
BACA: Lelaki mirip ‘John Wick’ dijumpai di Thailand raih perhatian netizen