Isteri sering menjadikan aspek kewangan keluarga yang kurang stabil sebagai alasan untuk bekerja seterusnya meringankan beban suami.
Menggunakan alasan yang sama, wanita ini akhirnya berjaya mendapatkan keizinan daripada suaminya untuk mencari rezeki.
Bagaimanapun, selepas mendapat peluang tersebut, dia seolah-olah lupa daratan apabila mengabaikan tugasan sebagai isteri malah semakin membebankan kewangan pasangan.
Situasi tersebut diceritakan semula oleh suaminya sendiri di laman Facebook kerana ingin mendapatkan nasihat dan pandangan warga maya.
Tambahnya lagi, mereka kini dalam proses untuk berpisah susulan sikap isterinya yang didakwa sering memberontak.
“Saya dalam proses menceraikan isteri… puncanya, mula-mula dahulu dia kerja sebab nak bantu saya. Tapi sekarang semakin membebankan saya pula.
“Rumah, anak-anak dan pengasuh semua jadi atas tanggungan saya,” luahnya memulakan cerita.
Menurut lelaki ini, kesibukan isterinya bekerja membuatkan dia terpaksa menggalas tugas serta tanggungjawab sebagai ‘suri rumah’ apabila pulang dari pejabat.
Lebih menyedihkan apabila segala urusan harian perlu diuruskan tanpa bantuan isterinya meskipun ketika dia berada dalam keadaan demam atau tidak sihat.
“Apabila saya penat atau demam tetap kena masak, mandi serta siapkan keperluan anak-anak sebelum serta selepas hantar kepada pengasuh.
“Sejak dia bekerja, dia balik lewat malam… kat rumah dia hanya dengan telefon dan bersolek,” tambahnya sayu.
Situasi yang dialaminya itu membuatkan dia berasa tertekan dengan kehidupan seharian.
Meskipun mengakui terbeban, namun lelaki ini mahu mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak seandainya dia dan isteri berpisah.
Mengimbau kembali perkenalan dengan isteri, dia berkata wanita tersebut mempunyai seorang anak yang tidak diketahui asal usul keturunan.
“Masa kahwin dengan dia dulu, mula-mula ada juga seorang anak tanpa diketahui siapa ayahnya.
“Anak tu memang dah rapat juga dengan saya dan boleh tolong jaga adik-adiknya yang merupakan anak kandung saya.
“Melepaskan adalah jalan terbaik, cuma saya nak anak-anak biarlah dengan didikan akhlak dan akidah serta adab dari saya,” luahnya lagi sambil mengakui sudah tidak tidur bersama dengan isterinya.
Malah katanya, anak-anak juga lebih gemar tidur bersamanya berbanding isteri.
Luahannya itu mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya menzahirkan rasa simpati di samping memberi nasihat.
“Anak memang tanggungan suami untuk bayar. Cuma rasanya awak ni burn out wife tak peduli urusan rumah… wahai ibu-ibu bekerja jangan kejam dengan suami. Kerja niatkan untuk bantu suami ringankan beban.
“Ada beri dia nafkah? Duit poket lain sebab buat keja rumah? Muhasabah diri dulu… isteri nak merasa juga melawa, tenang dan selesa.
“Wanita kalau memilih untuk bekerja lihatlah kemampuan suami. Bantu bayar-bayar bil, sama-sama rasa ringan dan suami sama-sama bantu urus rumah serta anak.
“Elok abang ‘hadam’ betul bab nafkah dulu, betul ke kalau isteri kerja anak dijaga orang lain, masih bawah tanggungan suami atau nafkah sumai? Ni kena tanya ustaz yang alim dulu, sebelum bawa masuk mahkamah better bersedia,” ujar beberapa warga maya.