Penangan drama Aku Bukan Ustazah yang sedang ditayangkan di TV3 perlu diakui memang memukau penonton sehingga dinanti-dinantikan setiap hari.
Namun di sebalik kejayaan karya bersiri itu, ramai tidak mengetahui tentang heroin yang membintangi drama tersebut iaitu Nur Erysha Emyra.
Memulakan kerjaya lakonan sejak dua tahun lalu, nama Erysha Emyra pantas meniti di bibir peminat industri lakonan arus perdana. Kelibatnya semakin ligat muncul di televisyen.
Namun apa yang ramai tidak tahu adalah Erysha merupakan anak kepada dramatis terkenal Datin Seri Noniswara yang telah lama bergiat dalam bidang seni.
Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu merupakan anak kedua dari tiga adik beradik.
Apa yang lebih memeranjatkan, Erysha rupa-rupanya mempunyai pertalian dengan MK K-Clique.
Ini kerana Siti Hajaar, isteri kepada penyanyi MK merupakan kakak tiri kepada Erysha. Maka MK adalah abang ipar Erysha.
Kalau ikutkan, Erysha tidak pernah berhajat memasuki dunia lakonan.
Apalagi menjadikan pelakon sebagai kerjaya sepenuh masa.
Cuma aktif dalam peragaan selepas tamat persekolahan, ibunya antara yang tidak berputus-asa mendorongnya cuba nasib berlakon.
Namun begitu, dia tidak sengaja jatuh cinta tanpa paksaan siapa-siapa.
“Sejak kecil, ibu memang nak saya ikut jejak kakinya. Tapi sejak dulu saya memang tak nak. Ketika itu, saya berfikir cukuplah ibu saya saja yang berlakon.
“Impian peribadi saya sebenarnya mahu mendaki dunia korporat. Tapi tiba-tiba terbuka jalan selepas saya jadi model tudung. Ibu pun memang tak putus-putus dorong lagi saya cuba lakonan ketika itu,” katanya.
Baca juga: