Generasi terdahulu memang terkenal dengan sikap prihatin dan suka membantu antara satu sama lain.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila kini timbul banyak isu ‘duduk rumah percuma’ selama berpuluh-puluh tahun sehingga menyukarkan pewaris menguruskan hal harta pusaka.
Berita mengenai tanah milik bapanya yang telah diduduki oleh sebuah keluarga selama kira-kira 40 tahun menjadi viral di laman Facebook.
Rumah bernilai RM15,000 telah dibina di atas tanah tersebut.
“Sebuah keluarga telah menumpang di tanah bapa saya lebih kurang 40 tahun… secara percuma.
Baru-baru ini, bapa saya meminta kembali tanah itu dan mereka telah keluar serta meninggalkan sebuah rumah,” ujar individu tersebut.
Kerana terdapat rumah di atas tanah milik bapanya, individu tersebut berhasrat untuk mengambil alih kediaman itu daripada keluarga berkenaan.
Namun, keadaan rumah tersebut dikatakan tidak sempurna dan banyak kerosakan kerana telah berusia 40 tahun.
Oleh itu, individu tersebut meluahkan hasrat untuk membayar wang ehsan sebanyak RM5,000 kepada keluarga tersebut.
Bagaimanapun, dia turut meminta pandangan warga maya sama ada perlu membayar wang ehsan atau mengikut harga yang ditetapkan keluarga itu.
“Harga pembinaan rumah itu adalah RM15,000, kami cadang bayar RM5,000 sahaja disebabkan umah tersebut banyak kerosakan,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada warga maya.
Ramai yang memuji sikapnya kerana bertimbang rasa dan prihatin dengan nasib keluarga yang menumpang selama 40 tahun di tanah milik bapanya.