Ibadah haji merupakan rukum Islam kelima yang dituntut oleh setiap Muslim dan merupakan satu kewajipan bagi mereka yang berkemampuan.
Mereka yang mahu mengerjakan haji mestilah perlu mengikut rukun haji dan tidak sah jika seseorang itu tidak melengkapkan rukun tersebut.
Namun, berlainan pula dengan satu kes yang berlaku di negara jiran apabila didakwa terdapat sekumpulan penduduk melakukan ‘ibadat haji’ di puncak Gunung Bawakaraeng.
Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan sekumpulan ‘jemaah’ mendaki puncak gunung berketinggian 2,883 meter tersebut, didakwa untuk menunaikan haji.
Memetik laporan Bantentv, Majlis Ulama Indonesia (MUI) turut menyiasat dakwaan video yang memaparkan penduduk melakukan ‘ibadat haji’ di gunung tersebut.
“Kami masih menyiasat kebenaran dakwaan itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa daerah Tinggimoncong berhubung video tular naik haji di Gunung Bawakaraeng,” katanya.
Difahamkan, ritual sesat itu sudah lama berlaku dan dikatakan menjadi tradisi sejak turun-temurun.
MUI dan pemerintah setempat beberapa tahun sebelum ini pernah menutup laluan pendakian ritual tersebut kerana didapati menyimpang daripada ajaran agama Islam.
Katanya, mereka yang melakukan perkara itu berasal dari beberapa kampung di Sulawesi Selatan, percaya jika mereka melakukan ‘ibadat haji’ dari puncak Gunung Bawakaraeng, ia sama seperti dilakukan di Tanah Suci Makkah.