Seperti yang kita sedia maklum, merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan perokok, tetapi juga kesihatan orang sekeliling.
Bau asap rokok mudah melekat pada bahan-bahan seperti sofa atau langsir, dan lebih teruk lagi, ia boleh kekal dalam kenderaan yang digunakan setiap hari.
Walaupun kita bukan perokok, bau asap rokok dari orang lain juga boleh meninggalkan kesan yang tidak menyenangkan, yang sukar untuk dibuang jika tidak menggunakan cara yang betul.
Situasi begini boleh mengganggu keselesaan semasa memandu dan mungkin membuatkan anda berasa segan, terutama jika terdapat penumpang.
Seperti yang dicadangkan oleh pengguna TikTok, @altimatautogarage.
Berikut adalah lima cara untuk menghilangkan bau dalam kereta hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah:
1. Cuka
Anda boleh menggunakan cuka untuk menyerap bau yang tidak menyenangkan dalam kereta. Cukup tuangkan cuka ke dalam gelas kosong dan biarkan di dalam kereta semalaman. Cuka akan membantu menghilangkan bau tersebut secara semula jadi.
2. Kulit Buah Citrus
Kulit buah-buahan citrus seperti oren, lemon atau limau nipis juga berkesan untuk menyerap bau asap rokok. Kumpulkan kulit buah tersebut dalam bekas kosong dan tinggalkan di dalam kereta untuk jangka masa yang diperlukan.
3. Kulit Kayu Manis
Merebus dua hingga tiga batang kulit kayu manis dan meletakkan air rebusan dalam cawan di dalam kereta dengan tingkap tertutup dapat membantu menghilangkan bau rokok. Aroma harum kayu manis akan menyegarkan udara dalam kereta.
4. Arang
Ketulan arang yang diletakkan di bahagian belakang tempat letak kaki juga berkesan untuk menyerap bau kurang menyenangkan dalam kereta. Arang akan menyerap segala bau yang tidak diingini dengan efektif.
5. Serbuk Kopi
Serbuk kopi turut membantu untuk menghilangkan bau kurang menyenangkan dalam kereta, termasuk bau asap rokok. Letakkan serbuk kopi dalam bekas kosong dan biarkan di dalam kereta semalaman dengan tingkap tertutup.
Tukar serbuk kopi dan ulang proses ini beberapa kali sehingga bau hilang sepenuhnya.
Dengan menggunakan bahan-bahan ini, selain menjimatkan, anda juga tidak perlu risau tentang penggunaan bahan kimia yang berpotensi memberi kesan negatif terhadap kesihatan anda.