Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, dalam salah satu siri ceramah agamanya, memberikan penjelasan
Tentang hukum mengambil wang komisen hasil daripada kutipan derma.
Menurut pendakwah berusia 60 tahun itu, upah pengurusan sepatutnya tidak melebihi empat peratus daripada hasil kutipan.
“Ramai sangat yang nak tolong pondok (institusi pendidikan Islam) tetapi ambil duit dengan cara yang salah. Buat kerja biar betul.
Upah pengurusan itu sebenarnya kecil sahaja, iaitu dua hingga empat peratus yang dibenarkan syarak.
Ini tidak, dapat derma RM100,000 untuk pondok, kita ambil RM30,000,” jelasnya.
Selain itu, Ustaz Azhar juga mengingatkan semua individu yang terlibat agar tidak mengambil kesempatan terhadap wang amanah yang didermakan oleh orang ramai.
“30 peratus yang diambil itu bukan kos pengurusan. Biar ikhlas dalam membantu.
Biar kita guna duit sendiri dan duit sumbangan untuk perkhidmatan. Kalau tak, kita akan ‘makan sedap’ dan lupa asal tujuan perbuatan kita. Lama-lama jadi kaya macam itu sahaja,” tambahnya.