Janda angau bekas suami, marah bertukar sayang gara-gara sihir pengasih

Oleh GEMILANGDAILY

TIADA mana-mana wanita yang sanggup bertahan apabila bersuamikan lelaki ‘biawak hidup’.

Daripada merana dan terseksa fizikal serta mental, penceraian adalah jalan terakhir yang diambil biarpun terpaksa bergelar janda.

Begitulah juga dengan kisah dilalui Diana (bukan nama sebenar), yang bercerai talak satu dengan suaminya gara-gara tidak sanggup lagi menanggung lelaki pemalas serta panas baran itu.

Namun siapa sangka, si suami menyimpan dendam sehingga sanggup menyihir isteri sendiri.

Mengimbas kembali kisah hitamnya, wanita berusia 38 tahun itu berkata, bekas suaminya, Jalil (bukan nama sebenar) sebelum ini bekerja di sebuah syarikat swasta.

Janda angau bekas suami, marah bertukar sayang gara-gara sihir pengasih
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila diberhentikan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2019.

“Selepas diberhentikan, suami cuba cari kerja lain tapi selalu tak lama. Macam-macamlah alasan yang dia bagi.

“Gaji kecil la, bos pilih bulu la, lain daripada bidang dia la. Saya cadangkan dia kerja rider atau buat e-hailing sebab waktu kerja fleksibel… dia terus reject sebab tak kena dengan cita rasa dia,” ujarnya.

Minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, sedar-sedar Jalil sudah dua tahun bergelar penganggur.

Selama tempoh tersebut, Dianalah yang keluar bekerja mencari rezeki sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta.

“Dengan gaji RM3,000 sebulan, sayalah yang bayar sewa rumah, bayar bil, belanja dapur, belanja sekolah dua anak tingkatan dua dan darjah lima.

“Mujurlah kereta saya sudah habis bayar. Tapi ada kalanya saya terpaksa keluarkan simpanan sebab gaji saja memang tak cukup,” kongsinya.

Tambah Diana, bekas suaminya hanya menghabiskan masa dengan tidur, melepak di kedai mamak dan bermain judi di dalam talian.

“Perangainya memang berubah 360 darjah daripada lelaki yang saya kenal dulu. Malah, dia bertukar menjadi panas baran lagi-lagi kalau kalah judi.

“Saya dan anak-anak selalu jadi tempat dia melempiaskan kemarahan… tubuh badan saya ibarat punching bag dia. Akhirnya saya nekad fail cerai. Dan kami sah bercerai pada Jun tahun lepas,” ujar ibu kepada dua anak lelaki ini.

Sejak bercerai, Diana berkata dia langsung tidak mengambil tahu mengenai bekas suaminya.

Ujarnya, mereka hanya berhubung apabila melibatkan hal anak-anak.

“Dia banyak kali minta maaf dan ajak rujuk semula… tapi pintu hati saya belum lagi terbuka menerimanya kembali,” ujarnya.

Diana dan dua anak lelakinya menjalani kehidupan seperti biasa, sehinggalah pada penghujung tahun lalu, dia diserang penyakit misteri.

“Mula-mula saya kerap mimpi aneh. Kemudian badan selalu rasa lesu dan kerap muntah.

“Apabila pergi klinik, doktor kata tiada apa-apa tanda penyakit dan beranggapan mungkin saya penat bekerja.

“Hingga pada satu tahap, saya jadi tak keruan… saya rasa macam teringat-ingat pada bekas suami. Makan, tidur atau ketika kerja, wajah dia selalu terbayang-bayang.

“Sampai saya mesej dan telefon dia konon-konon nak bincang pasal anak, tapi sebenarnya sebab angau,” ceritanya.

Bagaimanapun Diana menambah, perubahan itu disedari kakak sulungnya.

“Saya dan kakak sulung memang rapat. Semua benda saya kongsi dengan dia. Apabila saya cerita situasi yang saya alami, dia terus sarankan saya berubat.

“Lagi pula apabila dia tengok saya makin susut, memang dia paksa saya dapatkan rawatan. Akhirnya kami pergi ke sebuah pusat rawatan Islam di Gombak,” ceritanya.

Apa yang mengejutkan, kongsi Diana, perawat di pusat rawatan berkenaan memaklumkan dia terkena sihir pengasih.

“Ustaz tu kata, ‘orang tu’ sihir guna pakaian saya yang masih belum dicuci.

“Rupanya, bekas suami pernah datang rumah ketika ketiadaan saya. Anak sulung beritahu, ayah mereka ada sekali datang rumah masa saya keluar.

“Siap masuk bilik lepas tu keluar dengan beg kertas. Patutlah sepasang baju kurung saya hilang tanpa dapat dikesan… rupanya bekas suami rembat. Apabila tanya, dia mati-mati tak mengaku,” ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Diana berkata dia menjalani rawatan di pusat rawatan berkenaan selama hampir dua bulan, sebelum betul-betul sembuh.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sebab dengar cakap kakak. Kalau tidak, mungkin saya bertindak di luar kawalan sebab angau.

“Biarpun sudah hampir empat bulan kisah itu berlaku, saya pilih untuk memaafkan bekas suami biarpun dia tak berbuat demikian. Saya nak buka buku baru, dan anggap apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah,” akhirinya.

BACA: “Lepas 7 tahun berkahwin, baru aku tahu sebenarnya aku ‘ter’kahwin dengan bini orang, sedih bila kenangkan anak”