Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie diarah bayar RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada dua pengarah syarikat.
Memetik laporan BH Online, Jovian diperintahkan membayarkan jumlah tersebut selepas didapati gagal membayar dua pinjaman persahabatan (friendly loan).
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada 2 dan 4 April lalu,
selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat Cekap Air Sdn Bhd dan Bina Pragmatik Sdn Bhd.
Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Perkara itu disahkan firma guaman Saiful, Roger & Co. yang mewakili kedua-dua syarikat berkenaan.
Ahmad Fairuz dalam penghakimannya memerintahkan Jovian membayar RM5 juta masing-masing kepada syarikat Cekap Air Sdn. Bhd. dan Bina Pragmatik Sdn. Bhd..
Difahamkan Jovian yang juga bekas menantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus itu pada 30 April lalu.
“Pada 16 Mei tahun lalu, dua syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian secara berasingan kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.
“Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei dan pengarah Bina Pragmatik, Azirul Salihin,” petik BH Online.
Cekap Air mendakwa, mereka telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, lalu memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.
Cekap Air berkata, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan defendan.
Sementara itu, Bina Pragmatik mendakwa meminjamkan wang dengan jumlah sama kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dan turut memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman sama.
Kedua-dua plaintif itu mendakwa, pinjaman persahabatan terbabit perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Difahamkan, pinjaman itu diberikan dan dilakukan secara lisan dan kasual kerana mereka dan Jovian adalah kenalan.
Malah, mereka juga tidak meragaui Jovian kerana kerana beliau mempunyai beberapa perniagaan lain.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat mendakwa sehingga kini, defendan memungkiri perjanjian pinjaman dan gagal membayar semula atau memulangkan kembaliwang berkenaan menyebabkan mereka mengalami kerugian.