Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai seorang remaja berusia 13 tahun yang tidur di koridor flat
selama berhari-hari disifatkan sebagai diabaikan oleh ibu bapa sendiri.
Menurut laporan yang tersebar luas, remaja tersebut dilaporkan tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah
dan hanya mendapat makanan dari jiran tetangga.
MStar melaporkan bahawa bapa remaja tersebut, seorang pemungut besi buruk, mengaku bersalah di hadapan Hakim Sesyen Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, hakim menolak pengakuan bersalah tersebut dan memberi peluang kepada tertuduh untuk membela diri dalam perbicaraan yang akan datang.
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendengar penjelasan dari pihak tertuduh sendiri.
Tertuduh yang tidak mendapat khidmat peguam memberitahu mahkamah bahawa anaknya degil dan tidak mahu mendengar nasihat.
Tambahnya lagi, setiap ahli keluarga termasuk mangsa mempunyai akses ke kunci pintu rumah flat tersebut.
“Saya berikan dia kunci tetapi dia tak mahu masuk. Tak apa, saya faham, saya sahaja yang mengaku bersalah,” kata tertuduh.
Tertuduh menerangkan bahawa anaknya memang begitu dan satu-satunya cara untuk berhubung dengannya adalah melalui isteri.
“Saya sentiasa berjaga malam tetapi dia tak pernah pulang,” tambahnya.
Penjelasan yang diberikan membawa hakim memberi peluang kepada tertuduh untuk membuktikan keadaannya tidak bersalah, walaupun pada mulanya tertuduh mengaku dengan tuduhan yang dikenakan.
Menurut tuduhan, lelaki berusia 56 tahun itu dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan kes ini akan diuruskan pada 29 Julai akan datang. Tertuduh dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat peguam.
BACA: Rupanya macam ini cara pempengaruh kaya dengan hasil kutipan derma, patutlah kaya