Tak mampu beli durian, pakcik tua beri nota minta sebiji durian paling murah tindakan peniaga buat netizen mengalirkan air mata

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Bukan semua berkemampuan nak beli sebiji durian, kadang-kadang yang murah di mata masih mahal buat mereka.

Tapi dah nama pun bapa pastinya akan sedaya upaya memenuhi permintaan anak yang mahukan buah tersebut.

Menerusi satu hantaran di TikTok MR Patin House (@rizqinrifqi1), peniaga tersebut berkongsi kisah sebak didatangi warga emas dengan secebis kertas kecil.

“Pakcik nak minta buah satu biji, anak pakcik nak makan tapi pakcik tak ada duit. Terima kasih,” ujar kertas tersebut.

Menurut portal mStar, pakcik yang juga warga emas dianggar berusia sekita 70-an datang semasa kedai hampir tutup.

Tak mampu beli durian, pakcik tua beri nota minta sebiji durian paling murah tindakan peniaga buat netizen mengalirkan air mata

“Kebetulan masa dia sampai, kedai dah nak tutup tapi masih ada buah di kedai saya. Dia berjalan ke kedai dan memanggil pekerja, sambil senyum menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Dia hulurkan kertas sejurus sapaan disahut. Selepas membaca nota yang diberikan, pekerja saya tersentap dan terus memberikan selonggok buah durian kepada pakcik tu,” katanya seperti dipetik mStar.

Bimbang dianggap menipu, pakcik tunjuk kad OKU

Tidak mahu dianggap penipu, pakcik tersebut menunjukkan kad orang kurang upaya (OKU) bisu yang dimilikinya.

Maklum pemilik kedai itu juga, pekerjanya memberikan buah tanpa bertanya kepadanya dan semua dikatakan bersimpati akan pakcik tersebut.

“Semua hiba selepas tengok pakcik tu menitiskan air mata apabila menerima buah yang diberikan dengan jumlah yang banyak.

“Selonggok kedai saya ada lima atau enam biji, dia minta buah yang paling murah tapi kami bagi dia merasa kualiti Udang Merah,” tambahnya.

Rata-rata netizen memuji tindakan pemilik tersebut yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Sebagai orang tua, kita sanggup buat apa sahaja demi anak nak makan, terpaksa tebalkan muka beli beras, susu atau lauk, satu hari nanti rezeki ada bolehlah belanja apa sahaja.

“Kalau seseorang meminta dengan menebalkan muka, maka tolonglah kerana dia sudah menjual maruah dia demi orang tersayang. Terima kasih buat pemilik yang sangup tolong.

“Ujian untuk pemberi, bukan semua rezeki Allah tu hak kita. Ada milik asnaf dan insan kekurangan,” antara komen netizen.

Baca juga: “Mak mertua menyampah dengan aku, katanya aku mengada alahan mengandung, lembik tak boleh tahan”