Kehilangan komputer riba yang menyebabkan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dibuli dan dipukul hingga mati, kekal menjadi misteri hingga ke hari ini.
Kisah sedih Allahyarham bermula apabila namanya disebut oleh seorang ‘bomoh’ untuk mengesan siapa yang mencuri komputer riba milik seorang pelajar.
Selepas itu, mangsa bukan sahaja dipukul untuk mengaku mencuri komputer riba tersebut, malah Allahyarham juga ditekap menggunakan seterika wap dalam kejadian pada 21 dan 22 Mei 2017.
Tinjauan di media sosial dari semalam hingga hari ini menunjukkan ramai yang masih tertanya-tanya siapa sebenarnya pencuri komputer riba yang menyebabkan kejadian ngeri ini menimpa Allahyarham.
“Persoalannya, siapa pencuri sebenar laptop kes arwah Zulfarhan tu?” ciap Faiz.
“Sekarang ni apa cerita pencuri laptop tu? Siapa sebenarnya yang mencuri? Gara-gara sebiji laptop, nyawa anak orang melayang,” ciap Wanie.
Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai Putry berkata, jika benar pencuri komputer riba itu masih ada hingga kini, individu tersebut sepatutnya hidup dalam penyesalan kerana telah menyebabkan kematian Allahyarham.
“Sekarang siapa pencuri laptop sebenar? Dialah punca utama selain ‘bomoh’ yang sebut nama Allahyarham. Hidup tenangkah dia selepas buat macam tu dekat Arwah?” ciapnya.
Seorang pengguna lain, Izzudin, pula menyatakan bahawa sekiranya komputer riba itu tidak dicuri, segala perlakuan menyayat hati tidak akan berlaku kepada mangsa.
“Yang pertama bersalah adalah pencuri sebenar laptop. Kalau dia tak mencuri, semua ini takkan berlaku. Harap orang ini takkan boleh tidur dengan tenang, hidup dalam kegelisahan dan penyesalan selamanya,” ciapnya.
Selain itu, ada juga pengguna media sosial yang mempersoalkan adakah benar-benar komputer riba itu telah dicuri atau pemiliknya cuai meletakkan gadget tersebut di tempat yang salah.
“Sampai sekarang tak tahu laptop itu benar-benar hilang atau Allahyarham sengaja difitnah,” ciap Hasyimah.
“Bayangkan kalau laptop itu tak dicuri pun sebenarnya, mungkin pemilik tertinggal di mana-mana kawasan,” ciap pengguna lain pula.
Semalam, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti tersebut di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.