Usahawan kosmetik Joy Revfa mendakwa suaminya keluar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana tidak tahan dibuli semasa menuntut di sana dari tahun 2010 hingga 2016.
Dalam hantaran di Facebook, Joy Revfa, nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin, mendakwa suaminya, Dr Adrian Yeah, merupakan salah seorang mangsa buli di UPNM.
Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan suaminya, seorang mualaf, terpaksa meninggalkan UPNM sebagai Doktor Tentera kerana tidak tahan dengan layanan buruk, walaupun beliau sempat bergelar Leftenan Muda.
“Kalau tidak, suami saya sekarang mungkin sudah berpangkat Mejar dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Dia terpaksa membuat keputusan untuk keluar daripada UPNM daripada terus menjadi mangsa buli di situ.
Sampai sekarang, dia masih trauma setiap kali mengingatkan penderaan mental tersebut dan akan menangis apabila bercerita kepada saya.
“Kasihan ibu bapa suami saya yang telah membesarkan dan menyayangi dia sejak kecil, tetapi apabila masuk UPNM, dia dibuli dan dianiaya dengan teruk!” katanya dalam hantaran tersebut.
Dakwaan ini timbul selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM kerana terlibat dalam pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.
Enam tertuduh yang berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Menurut Joy Revfa, suaminya telah menjadi mangsa buli disebabkan oleh latar belakang bangsa Cina dan keaktifan yang mencolok mata. Suaminya dikatakan telah ditumbuk, ditampar, rambutnya ditarik sehingga botak dan berdarah, serta disebat dengan tali pinggang. Selain itu, Dr. Adrian Yeh, yang juga dikenali sebagai Raymond Yeh, terpaksa melaporkan diri setiap malam untuk membersihkan rumah, mencuci tandas, diperas ugut duit, dan dibuli secara fizikal oleh sekumpulan senior yang tidak berperikemanusiaan.
“Nama-nama pembuli melampau ini (Batch 2008) adalah Tuan Tanker, Tuan Raimi, Tuan Hudda, dan Tuan Omar. Mereka tahu apa yang mereka telah lakukan kepada suami saya! Selagi empat orang ini tidak meminta maaf, suami saya tidak akan memaafkan mereka sampai kiamat!” dakwanya lagi.
Kes buli ini telah menyebabkan suami Joy Revfa, yang berusia 36 tahun, tidak dapat merealisasikan impian dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Dalam pada itu, Joy Revfa meninggalkan pesanan agar budaya ‘ragging’ antara junior dan senior tidak diperlakukan dengan kejam, sebaliknya lebih memberi fokus kepada pembelajaran sebagai tentera.
Namun, hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi dari warganet, terutama bekas penuntut UPNM dari ‘batch08’. Hantaran tersebut telah dipadam selepas 19 jam dikongsi di Facebook.
Apa pun, penting untuk mendapatkan pandangan kedua mengenai isu ini. Diharapkan pihak-pihak yang terlibat dapat memberi penjelasan dan bukti yang jelas mengenai perkara ini. Isu buli perlu diatasi dan dibendung kerana ia meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada mangsa.