Seorang presiden pertubuhan amal telah ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini,
kerana disyaki berkhalwat selepas ditemui berdua-duaan dengan seorang wanita di bilik hotel di ibu negara.
Menurut sumber pihak berkuasa, lelaki berusia lingkungan 40-an yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu,
aktif dalam mengutip derma untuk tabung Palestin melalui badan bukan kerajaan (NGO) miliknya, sejak enam hingga lapan tahun lalu.
“Dia ditahan oleh sepasukan pegawai Jawi ketika sedang bersama seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an di dalam bilik hotel.
Wanita tersebut, yang juga ahli aktif NGO yang sama, dilihat terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel sebelum lelaki itu tiba kira-kira pukul 2 petang.
Pasukan penguat kuasa Jawi kemudiannya membuat pemeriksaan di bilik tersebut pada pukul 4.45 petang,” kata sumber kepada Harian Metro.
Sumber itu juga berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki tersebut cuba melarikan diri dan memberikan alasan bahawa dia bertemu wanita itu untuk menyerahkan barang. Namun, cubaan tersebut gagal dan dia ditahan oleh pegawai Jawi.
“Lelaki ini pernah berkongsi pentas forum mengenai konflik Palestin bersama seorang duta dari negara Timur Tengah.
Dia juga merupakan salah seorang individu yang lantang bersuara di media sosial dan media massa mengenai isu peperangan Palestin-Israel,” tambah sumber tersebut.
BACA: Sekolah tinggi di negeri ‘K’ buat hal! Pengetua beri kebenaran tubuh kelab ‘Syaitan’