Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini menyaksikan penyertaan daripada 184 buah negara, dengan jumlah atlet seramai 10,500 orang.
Malaysia menghantar seramai 26 atlet untuk bertanding dalam pelbagai acara, jumlah yang sama dengan atlet dari Peru.
Negara yang menghantar atlet terbanyak ialah Amerika Syarikat dengan 594 atlet, diikuti tuan rumah Perancis yang menghantar 572 atlet, manakala Australia menghantar 460 atlet.
Walaupun jumlah atlet Malaysia kelihatan kecil berbanding negara besar ini, terdapat beberapa negara yang hanya menghantar seorang atlet sahaja untuk mewakili mereka.
Menurut laporan CBS News, empat buah negara yang menghantar seorang sahaja atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 adalah Belize, Liechtenstein, Nauru, dan Somalia.
Senarai atlet bagi negara dengan bilangan atlet paling sedikit:
1. Atlet acara pecut 100 meter lelaki dari Belize, Shaun Gill, ditemani Ketua Misi, Giovanni Alamilla, dan Presiden Persatuan Atlet Belize (Belize Athletic Association, BAA), dilihat bergambar bersama di atas bot semasa perarakan masuk kontinjen negara tersebut. Acara larian Shaun dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 3 Ogos.
2. Atlet Liechtenstein, Romano Püntener, yang baru berusia 20 tahun, mewakili negaranya dalam acara berbasikal bukit. Walaupun hanya berjaya mendapat kedudukan ke-28, atlet yang pernah menjalani pembedahan di bahu kanan itu tidak patah semangat dan tetap berbangga dengan pencapaiannya. “Ini merupakan perlumbaan terbaik saya. Saya bangga dengan diri saya,” katanya melalui hantaran di Instagram rasmi Olimpik Liechtenstein.
3. Mewakili negara tercintanya Nauru, Winzar Kakiouea juga akan beraksi dalam acara pecut 100 meter lelaki yang akan berlangsung pada 4 Ogos nanti.
4. Akhir sekali, atlet Somalia dalam acara larian 800 meter, Ali Idow Hassan, terpilih buat kali kedua untuk mewakili negaranya di temasya sukan antarabangsa ini.
BACA: Kekacakan Atlet Korea Selatan buat ramai gadis berangan sampai tak lena tidur malam