Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, mendakwa beliau dinafikan haknya
semasa memegang jawatan ADUN di kawasan tersebut dan tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.
Beliau, yang diisytiharkan kehilangan keahlian BERSATU pada 13 Jun lalu, turut mencabar pimpinan PAS untuk mengemukakan bukti
Bahawa beliau pernah menerima peruntukan dan menggelarkan dirinya tamak.
“Ketika mereka (pimpinan PAS) berceramah, berbagai serangan peribadi dilemparkan terhadap saya, mengatakan saya tamak, tidak bersyukur dan sebagainya.
“Saya cabar mereka buktikan di bahagian mana saya tamak. Saya juga minta Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan bukti berapa banyak peruntukan Kelantan diberikan kepada saya sepanjang saya menjadi ADUN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
“Mereka boleh cakap apa sahaja sedangkan saya dinafikan hak sebagai ADUN. Satu sen pun saya tidak menerima peruntukan daripada mana-mana EXCO, sedangkan setahu saya setiap ADUN menerima peruntukan sehingga RM1.2 juta setahun.
“Malah, set keperluan asas melalui Skim al Itqan sebanyak 300 pek setiap bulan yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk miskin juga tidak diberikan kepada saya, sebaliknya diberikan kepada Penyelia DUN Nenggiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tuan Ibrahim, yang juga Timbalan Presiden PAS, sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Mohd Azizi dianggap tamak dan sengaja mengaitkan isu peruntukan hanya untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan semua ADUN di Kelantan menerima peruntukan yang sewajarnya.
Mohd Azizi, yang juga Ahli Parlimen, berkata setiap kali beliau turun padang bertemu rakyat, beliau menggunakan wang peribadinya sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, isu tidak menerima peruntukan sebagai ADUN telah diajukan kepada pimpinan BERSATU sebelum ini termasuk Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.
“Namun, jawapan yang saya terima adalah ‘bersabarlah… kita perlu sedar diri kita hanya enam kerusi’. Itulah ulasan yang saya terima setiap kali perkara ini dibangkitkan.
“Apabila saya kehilangan kerusi dan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK), mereka menuduh saya tamak sedangkan tidak semua ADUN Kelantan menerima peruntukan. Bercakap memang mudah, dan kalau betul saya terima peruntukan, tolong buktikan,” katanya.