Penyanyi dan pelakon terkenal, Aliff Aziz, kembali menjadi topik perbualan ramai apabila beberapa video dan foto
menunjukkan beliau aktif menyertai aktiviti keagamaan bersama jemaah tabligh di Singapura baru-baru ini.
Kehadiran Aliff, 33, dalam majlis agama tersebut menjadi tular selepas pendakwah bebas, Ustaz Taufik, memuat naik gambar dan video bersama penyanyi lagu “Sayang Sayang” itu.
Ustaz Taufik dalam perkongsiannya meminta orang ramai agar tidak cepat menghukum seseorang hanya kerana kesilapan lalu.
“Jika kamu ada akal dan mata, mengapa hanya mendengar dan menghukum seseorang?
Doakan yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik dan semoga pengakhirannya menjadi lebih baik,” kata Ustaz Taufik.
Beliau juga menekankan pentingnya ilmu yang dipelajari dalam majlis keagamaan sebagai panduan untuk menjadi individu yang lebih baik.
“Ulama mengatakan, ‘sebenarnya tiada orang jahat di dunia ini, hanya mereka yang salah memilih suasana’. Semoga suasana agama selama tiga hari ini akan menjadi medan tarbiah untuk kami memperbaiki diri dan belajar menjadi orang yang baik di sisi Allah SWT,” tambahnya.
Ruangan komen penuh dengan reaksi positif, dengan ramai yang mendoakan agar Aliff terus berada di jalan yang diredai Allah dan diberikan kekuatan menghadapi dugaan hidup.
“Ya Allah, suka melihat Aliff tersenyum bersama orang-orang baik, semoga dipermudahkan urusan,” tulis seorang netizen. “Saya simpati dengan Aliff, harap semuanya baik-baik sahaja,” komen yang lain.
Mengenang kembali, Aliff Aziz, nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, pernah aktif bersama jemaah tabligh pada tahun 2021. Ketika itu, beliau menyertai tabligh setelah melihat perkongsian beberapa selebriti lain di Instagram.
BACA: “Aku bukan nak pinjam duit aku cuma nak pinjam motor je tapi jawapan ayah benar-benar menghina aku”