“Aku disisih keluarga kerana memilih suami tak kaya nasib ada insan pengotor rela membantu”

Oleh SULAIMAN ABD RAHMAN

Seorang wanita langsung tidak menyangka bahawa insan yang sebelum ini dianggap pengotor mampu mengubah kehidupannya dan suami dengan sekelip mata.

Bertemu jodoh dengan lelaki yang tidak mempunyai harta, wanita itu baru mengenal realiti kehidupan sebenar setelah memutuskan untuk berkahwin di usia muda.

Mahu dijadikan sebagai pengajaran, berikut perkongsian wanita yang mengubah pandangannya terhadap insan kekurangan setelah dipinggirkan oleh keluarga sendiri.

“Aku dan suami berkahwin di usia muda. Masa itu aku baru sahaja tamat ujian STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia).

Suami pula masih lagi belajar di sebuah pusat kemahiran. Aku mengahwini suami yang ketika itu tiada harta.

“Aku disisih keluarga kerana memilih suami tak kaya nasib ada insan pengotor rela membantu”

“Aku disisih keluarga kerana memilih suami tak miskin, nasib ada insan pengotor rela membantu”

Waima sebuah motor pun atas ihsan bapa mertua memandangkan suami masih belajar.

“Kami berkahwin tanpa majlis. Yang tahu hanyalah ahli keluarga terdekat aku. Daripada pihak suami pula hanya ibunya seorang sahaja yang tahu anak lelakinya menikah di pejabat agama.

Bapa mentua seorang bekas tentera pencen. Daripada kecil, suami dan adik-beradiknya diajar untuk menyelesaikan masalah sendiri.

“Kami mendirikan rumah tangga 12 tahun yang lalu. Masa awal perkahwinan, hidup aku dan suami sangat susah. Kami menumpang di rumah rakan suami yang sudah berkeluarga.

Rumah pertama kami tumpang, aku dan suami tiada bilik. Hanya tidur di ruang tamu, depan televisyen. Hal ini kerana suami masih belajar.

“Aku dan suami hanya mampu jumpa hujung minggu. Waktu itu aku sudah hamilkan anak sulung kami. Aku tak bekerja. Suami belajar dengan bantuan penuh daripada kerajaan.

Pada hujung minggu dia bekerja separuh masa, tolong bapa dan ibunya menoreh. Alhamdulillah, suami sedar aku tak selesa dengan batas aurat.

“Suami sedar dia tak mampu, tetapi aku nampak usaha yang dia lakukan. Bila kandungan sarat, suami kenalkan aku kepada keluarga angkat dia. Suami dahulu kerap bercerita tentang keluarga angkatnya.

Tetapi masa itu aku tak ambil tahu. Janji dia ada pada saat aku melahirkan anak kami. Satu hari, suami ajak aku berpindah ke rumah mak angkatnya.

“Katanya, rumah mak angkat lebih selesa sebab ada satu bilik kosong. Aku setuju. Setibanya di rumah mak angkat suami, aku macam tak sangka. Kerana kediaman itu tak serupa rumah.

Laman tak terurus, tempat buang sampah tepi rumah. Longkang belakang rumah berbau. Masuk rumahnya jangan cakaplah, semua bau ada.

“Belum pergi bilik air lagi. Dengan baju kotor berlonggok, lubang tandas sudah tak nampak putihnya. Dekat dapur, ulat sampah sampai terkeluar dari plastik sampah.

Tak tahulah berapa hari tak buang. Memang mengucap panjang waktu itu. Tetapi mak dan bapa angkat suami baik orangnya. Ada anak yang sulong sebaya suami.

“Anak mereka yang paling bongsu ketika itu berumur 10 tahun tak silap. Mereka juga ada dua orang anak dara. Si kakak baru habis belajar di politeknik dan sudah bekerja manakala si adik pula masih menuntut di kolej swasta. S

ebaya aku. Dia masih belajar sedangkan aku tak lama lagi akan bergelar seorang ibu. Rezeki aku, Alhamdulillah.

“Kalau tengok dari segi penampilan, memang tak sangka budak-budak itu pengotor. Bau haruman minyak wangi, rambut tersusun rapi kalau yang lelaki. Anak perempuan pula cantik, kecil molek sahaja.

Berdandan bagai. Tetapi siapa sangka, kalau masuk bilik mereka seperti sarang tikus. Baju bersih dan kotor berlonggok jadi satu.

“Aku pernah bergurau dengan suami, ‘cantik betul anak mak angkat awak, kenapa tak kahwin dengan salah seorang. Senang, mak angkat terus jadi mak mertua’. Kata aku sengaja menduga.

Ternyata suamiku hanya ketawa. Mak angkat mengambil upah menjahit baju manakala bapa angkat pula seorang penganggur terhormat.

“Kerjanya hanya duduk menyembang di warung dan memancing udang jika datang musimnya. Mak angkat ada masalah semput yang sangat kronik, dia tak boleh buat kerja berat.

Hospital memang sudah menjadi rumah keduanya. Kadang-kadang tengah potong baju siapkan tempahan, bila semput datang memang kesian.

“Tetapi demi nak menyekolahkan anak-anak, terpaksa gagahkan diri. Pernah sekali suami beri dia duit belanja untuk beli lauk. Duit itu habis diberi kepada anak untuk pergi kerja sebab belum siapkan baju pelanggan.

Anak-anak gadis kepada mak angkat, rajin kerja. Duit gaji habis buat isi minyak pergi kerja dan membayar segala bil.

“Separuh dari gaji diserahkan kepada ayah mereka untuk beli rokok, duit minyak motor dan ngeteh. Jika tak diberi, bapa angkat akan mengamuk. Tetapi anak-anak tak pernah melawan.

Perangai bapa angkat kalau mengamuk dia tak akan pukul anak atau mak angkat. Tetapi, dia suka rosakkan barang dalam rumah.

“Pintu rumah itu akan dihayun kuat supaya semua dalam rumah dengar bunyinya. Pinggan dan cawan janganlah cakap, habis dicampak sampai pecah.

Paling kelakar, sampai nak makan dan minum kena bergilir sebab habis dipecahkan. Selama ini ingatkan perempuan sahaja mangamuk campak barang. Lelaki pun ada rupanya.

“Kata mak angkat, ‘sudahlah tak membantu membeli, menjahanamkan harta lagi ada’. Ini pertama kali aku jumpa lelaki perangai sebegitu. Dugaan. Mengamuk dia boleh meleret hingga berhari-hari. Kalau ada anak-anak atau mak angkat berikan duit, barulah hilang angin kus-kusnya.

“Akibat terlalu sibuk mencari duit dan kerap sakit, mak angkat akui dia tak mampu kemas rumah. Bila anak-anak tak gerak selepas disuruh pun tak boleh marah. Sebab automatik mak angkat akan semput. Melihat bapa yang tak membantu dalam urusan keluarga, anak-anak jadi tak ambil kisah tentang keadaan rumah. Nak bersepah lantak sana.

“Tentang makanan pula, kadang-kadang banyak hari menu sama iaitu sambal tumis. Beras pon mampu beli lima kilogram (kg) sahaja. Kalau ada rezeki lebih, beli telur.

Walaupun hanya sambal tumis, tetapi masakan mak angkat memang power gila. Aku tak pernah rasa sambal tumis sesedap itu. Aku pun sempat belajar cara buat sambal tumis itu.

“Sekarang anak lelaki mak angkat mewarisi bakat itu sampai dapat buka restoran nasi lemak terkenal di daerah Johor. Mak angkat akui, dia orang miskin. Rumah tak terurus. Kalau nak tumpang rumah, dia izinkan. Tetapi terimalah seadanya keadaan keluarga mereka ketika itu. Alhamdulillah bila mak angkat benarkan tumpang duduk.

“Memang tak dinafikan tak serupa bilik. Suami minta maaf, kata dia belum mampu sediakan tempat yang selesa. Tetapi ketika keluarga mak angkat yang merupakan orang luar dapat terima aku, itulah nikmat terbesar yang pernah dirasakan. Kerana perkahwinan kami tidak disenangi keluarga aku sendiri pada waktu itu.

“Aku kagum dengan kesungguhan suami yang tak nak menyusahkan keluarganya mahupun keluarga aku. Mak angkat pun terkejut beruk bila suami datang bawa aku yang sarat ketika itu. Dengan sikap aku yang mudah bergaul membuatkan kami cepat mesra. Dari hari pertama berpindah, aku memang tak duduk diam.

“Semua tempat aku kemas. Mak angkat pula risau tengok perut aku yang memboyot tetapi tak reti diam. Anak-anak mak angkat gelarkan aku majlis perbandaran. Kerana semua tempat aku bersihkan. Bila petang menjelma, keliling rumah aku sapu. Bakar sampah sampai daun daun kering keliling rumah bersih aku kerjakan.

“Mungkin juga pembawakan mengandung masa itu. Aku suka bau asap bakar daun kering. Itu yang bertambah rajin menyapu smpah. Tetapi aku selalu minta izin dengan mak angkat dahulu.

Sampai satu tahap, aku tebang pokok mangga yang baru berusia tiga tahun. Tanaman itu hidup betul-betul tepi ampaian baju.

“Kerana pokok itu jadi punca kerengga banyak, memang sakit mata. Rupa-rupanya sikap aku tak disenangi bapa angkat. Pernah juga tanya mak angkat, jika aku ada buat silap.

Mak angkat cuma berkata dia bersyukur ada orang pembersih dalam rumah. Kehadiran aku memang banyak membantu mak angkat menguruskan rumah.

“Anak-anak mak angkat yang kecil sudah anggap aku seperti kakak. Mereka juga akan rasa serba salah kalau tinggalkan pinggan kotor di singki. Sebab mereka tahu tiada orang lain yang akan bersihkan selain aku. Tetapi bapa mentua akan sengaja masak lewat malam dan biarkan dapur bersepah.

“Bapa angkat tak berani bersuara sebab anak dan isteri dia sudah anggap aku macam ahli keluarga mereka. Pernah sekali bapa angkat merajuk. Sanggup dia pindah duduk bangsal. Aku pula yang sedih masa itu. Serba salah sangat. Aku suruh anak-anak pujuk ayah mereka tetapi tiada seorang pun yang mahu.

“Mak angkat pula minta aku biarkan suami dia. Nak lihat berapa lama tahan duduk di bangsal kayu itu. Perangai macam budak-budak. Aku sudah geli hati campur kesian. Akhirnya dia pindah semula ke dalam rumah setelah aku meminta suamiku pujuk. Bapa angkatku cair. Manja, nak kena pujuk baru nak masuk rumah.

“Alhamdulillah. Setelah hampir setahun aku tinggal dengan mereka, suami habis belajar dan kami tak berjauhan lagi. Betullah, orang kata bayi itu pengikat kasih sayang. Aku selamat melahirkan seorang anak lelaki beberapa minggu selepas itu. Orang paling gembira pada waktu itu bukanlah keluarga aku atau suami.

“Tetapi keluarga angkat kami. Anak hanya ada dengan aku waktu menyusu sahaja. Selain dari waktu itu, semua mak angkat uruskan. Sayang benar mereka dengan anak kami. Mak angkat kata dia hilang semput bila tengok anak aku. Sayang betul dia. Memang anak aku ditatang bagai minyak yang penuh.

“Di saat keluarga sisihkan aku. Allah hadirkan orang luar, keluarga yang serba serbi kekurangan tetapi kaya dengan kasih sayang. Mereka melayani anakku seperti cucu mereka sendiri. Abah angkat yang sebelum ini tak suka aku sudah boleh terima kami. Mereka sudah boleh terima yang kebersihan itu adalah kewajipan manusia.

“Walaupun sekarang aku sudah tidak lagi duduk dengan mereka. Sedikit sebanyak mereka sedar kebersihan itu tanggungjawab semua orang. Rumah itu sudah tidak sekotor ketika mula-mula aku menjejakkan kaki ke dalamnya. Dulu keluarga aku suka perlekehkan orang pengotor, miskin. Tetapi lihat apa yang terjadi pada aku.

“Disaat aku dipinggirkan. Golongan yang tak dipandang inilah mengenggam tangan aku. Tiada orang di dunia ini nak jadi pengotor dan miskin. Itu ujian mereka. Ujian kita adalah diri sendiri yang merasakan sentiasa bagus.” Katanya menerusi satu perkongsian di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku dipaksa gadai rantai emas yang mak beli, buat pinjaman kahwin, bila dah kahwin baru aku sedar suami sebenarnya pemalas”